Hiasan dekorasi tradisional, nikmati suasana Aidilfitri bagai di kampung halaman di The Exchange TRX


  • Podium
  • Rabu, 03 Apr 2024

Kawasan Central Exchange mempamerkan rumah kampung yang besar dan menonjolkan seni bina tradisional Melayu.

SETIAP kali lebaran, berkunjung ke pusat beli-belah seakan-akan menjadi aktiviti wajib buat orang ramai kerana ia juga merupakan antara destinasi awal untuk mencari barang persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Untuk sambutan kali ini, apa salahnya jika anda mencuba angin baharu dengan berkunjung ke The Exchange TRX bagi merasai sendiri pengalaman berbeza membeli persiapan Hari Raya di pusat beli-belah di ibu negara itu.

The Exchange TRX yang dilancarkan pada November tahun lepas buat pertama kalinya hadir dengan sambutan Aidilfitri menerusi tema ‘Magnifience of Raya’ yang diadakan khusus buat pengunjung kesayangan mereka.

'Magnifience of Raya’ merupakan sebuah pameran visual yang menampilkan budaya, tradisi dan kesenian Melayu yang berlangsung sehingga 21 April depan.

Pengarah Projek The Exchange TRX dan Ketua Peruncitan Lendlease Malaysia, Mitch Wilson berkata, penganjuran pameran itu dibuat bagi meraikan keindahan budaya tradisional Melayu dan memberi penekanan terhadap peranannya dalam membentuk seni bina, rekaan serta seni kontemporari Malaysia.

Central Exchange - Side (4)

Orang ramai boleh mengunjungi The Exchange TRX untuk merasai 'Magnificence of Raya', yang berlangsung sehingga 21 April.

“Matlamat kami adalah untuk membina peluang bagi komuniti setempat The Exchange TRX untuk saling memahami dan menghargai budaya satu sama lain.

“Selain pameran yang menghiasi Central Exchange, gerbang pintu masuk ruangan umum dan TRX City Park, kami turut membawa persembahan kebudayaan di Central Exchange dengan harapan ia dapat memberi pengalaman yang boleh dihayati oleh semua pengunjung,” katanya.

Melangkah ke pusat beli-belah terbaharu berkenaan, mata pengunjung akan mula tertumpu dengan elemen hiasan di gerbang pintu masuk dan keseluruhan ruang dalaman The Exchange TRX yang kaya dengan hiasan bercirikan tradisional tanah air.

Selepas itu, fokus pengunjung akan beralih dengan hiasan kotak lampu gergasi berbentuk ketupat yang begitu sinonim dengan sambutan Aidilfitri di TRX City Park.

Performance (1)

Persembahan wayang kulit akan berlangsung setiap hujung minggu di Central Exchange bersama persembahan kebudayaan lain.

'The Magnificence of Raya' akan mengambil alih kawasan Central Exchange pusat beli-belah itu akan memberi pengalaman seolah-olah berkunjung ke sebuah rumah kampung dengan seni bina memukau serta rekaan dan motif Melayu tradisional.

Unsur utama bagi kempen Aidilfitri The Exchange TRX adalah batik Malaysia, yang mengambil ilham daripada keindahan alam di Malaysia selain motif keindahan bunga raya sebagai tumpuan dekorasi utama.

Paling menarik perhatian pada pameran ini adalah bunga-bunga mekanikal gergasi yang berayun lembut seolah-olah ditiup angin sepoi-sepoi bahasa, yang sudah semestinya satu penghargaan kepada landskap semula jadi Malaysia.

Selain hiasan, pengunjung juga dipelawa untuk menikmati persembahan silat, wayang kulit atau persembahan muzik daripada kumpulan caklempong dan kompang pada setiap hujung minggu di Central Exchange.

Dari promosi tawaran Ramadan-Raya daripada jenama-jenama tempatan sehingga ke ganjaran buat pengunjung dengan pelbagai hadiah raya eksklusif, The Exchange TRX menjadi pusat beli-belah wajib dikunjungi pengguna pada Aidilfitri ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram