[VIDEO] Suami isteri dalang perguna OKU promosi pinjaman along, judi di bazar Ramadan Ipoh dicekup


  • 112
  • Isnin, 01 Apr 2024

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki OKU dilihat mempromosi pinjaman ceti haram atau along dan judi dalam talian di Bazar Ramadan Stadium Perak, Ipoh baru-baru ini.

POLIS menahan pasangan suami isteri yang dipercayai menjadi dalang utama mempergunakan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mempromosi pinjaman ceti haram atau along dan judi dalam talian di Bazar Ramadan Stadium Perak, Ipoh, Perak.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 54 dan 53 tahun serta berasal dari Manjung ditahan pada pukul 12.45 tengah malam Ahad di Sitiawan, Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sebelum itu mengesan video tular terbabit pada Jumaat lalu, memaparkan seorang lelaki OKU ditegur dan dinasihat peniaga bazar Ramadan supaya beredar selepas dia didapati mempromosikan kegiatan judi dan along.

"Hasil soal siasat dijalankan mendapati lelaki berkenaan mengaku mengunjungi bazar Ramadan itu bersama dua lagi lelaki yang diupahnya untuk menyebar dan mempromosikan perniagaan pinjaman along yang dijalankannya sejak tahun 2022.

"Dua lelaki yang bersama dengannya di bazar ketika hari kejadian itu merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang diupah untuk mengedarkan kad promosi aktiviti haram berkenaan dengan bayaran RM30 seorang," katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: 'Kafir bukan istilah tunggal digunakan terhadap bukan Islam dalam al-Quran'

BACA LAGI: Bukan takat mahu 'survive' raya, pesawah terpaksa tanggung hutang berganda akibat cuaca panas

Bertindak atas maklumat, Mohd Yusri berkata, suspek suami isteri yang merupakan dalang sebenar kes berjaya dikesan dan ditangkap dengan polis turut merampas sebuah telefon pintar, buku catatan senarai peminjam wang, sebuah kereta dan 120 keping kad tertera iklan pinjaman wang serta judi dalam talian.

Ujarnya, semakan dibuat berdasarkan buku catatan dirampas mendapati 90 peratus peminjam wang daripada suspek merupakan bangsa Melayu yang berada sekitar daerah Manjung.

"Suspek dipercayai bertindak demikian bagi mengembangkan perniagaannya dengan mencari peminjam baharu,” katanya.

Mohd Yusri berkata, suspek juga mengaku perniagaan pinjaman wang haram yang dilakukannya mengenakan jumlah bunga yang tinggi dan perlu dibayar secara harian.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan termasuk usaha mengesan dua lagi suspek dipercayai terbabit untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Sebelum itu, pendedahan mengenai aktiviti itu tular selepas ia dimuat naik pemilik akaun Facebook, Oppa Zuzu Kitchen yang juga dipercayai peniaga di bazar Ramadan tersebut.

Dalam klip dikongsikan itu, ia memaparkan kegiatan seorang lelaki menyebarkan mini plakad iklan judi dan along. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram