
SIASATAN terhadap rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart akan diteruskan walaupun syarikat tersebut sudah memohon maaf atas kecuaiannya sehingga membenarkan penjualan stoking tertera kalimah ALLAH.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, siasatan itu melibatkan kesalahan melakukan perbuatan menimbulkan kemarahan dan kekecohan orang ramai.
“Jika sabit kesalahan, pihak terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) semasa Sesi Soalan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Mohd Shahar sebelum itu meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan tindakan yang diambil untuk menghentikan penjualan pakaian tersebut.
Pada Ahad, pemimpin politik, individu dan beberapa kumpulan tampil meminta kerajaan untuk memberikan penjelasan berhubung insiden tersebut.
Mereka turut meminta agar kejadian itu dijadikan pengajaran kepada semua untuk lebih berhati-hati dalam menangani sensitiviti agama.
BACA LAGI: KK Mart mohon maaf isu stoking, Bell Ngasri pesan jangan buat main kalimah ALLAH
KK Supermart tampil memohon maaf susulan kontroversi penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di rangkaian serbaneka syarikat berkenaan.
BACA LAGI: Peniaga asal Kompleks PKNS perlu diberi keutamaan kekal imej ikonik Shah Alam — Azli Yusof
Menurut Shamsul Anuar, polis menerima sebanyak 36 laporan berhubung insiden itu setakat Isnin.
“Satu kertas siasatan dibuka pada 14 Mac.
“(Perkara) itu kini disiasat dan kami sedang memantau keadaan,” katanya lagi.
Ujar beliau, siasatan dijalankan di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Berdasarkan siasatan dibuat, beliau berkata, semua stoking itu telah ditarik balik dari rangkaian kedai tersebut di seluruh negara.
"Isu itu telah menjadi tular dan kami mengambil serius apa yang berlaku.
“Tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan memeriksa semua premis rangkaian itu di seluruh negara,” kata Shamsul Anuar.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, beberapa individu terdiri daripada pihak KK Mart serta saksi penting akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung isu tersebut.
Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. — The Star/RAHIMY RAHIM/ALLISON LAI/JUNAID IBRAHIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram