[VIDEO] Video pelekat bentuk tapak kaki tertera kalimah ALLAH isu lama tular semula


  • Tular
  • Isnin, 18 Mac 2024

Tangkap layar video tular pada Isnin memaparkan penemuan satu alat pelekat berbentuk tapak kaki yang tertera tulisan ALLAH.

BELUM reda isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH yang dijual di sebuah kedai serbaneka di dalam negara, kini tular satu lagi kes melibatkan barangan lain yang juga tertulis kalimah suci itu.

Dalam satu video yang tersebar di media sosial pada Isnin, dua individu terkejut selepas sticker penanda berbentuk tapak kaki yang dibelinya mempunyai tulisan tertera kalimah ALLAH dan Muhammad di bahagian belakang alat tersebut.

Difahamkan, tulisan berkenaan terselindung di sebalik plastik hitam yang tertampal di atasnya dan perlu dibuka.

Menerusi klip berkenaan, barangan tersebut dilihat merupakan barangan buatan dari China.

BACA LAGI: KK Mart mohon maaf isu stoking, Bell Ngasri pesan jangan buat main kalimah ALLAH

Pada masa sama, individu terbabit menerusi video berkenaan memaklumkan barangan itu dibeli dari sebuah rangkaian kedai runcit yang menjual alat perkakas rumah.

Dalam pada itu, semakan dibuat Majoriti mendapati video berkenaan merupakan klip lama kejadian sekitar Februari 2019 yang ditularkan semula.

Dalam insiden berkenaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan sudah mengambil tindakan dengan melakukan pemeriksaan dan mendapatkan keterangan daripada pengurus gudang rangkaian kedai perkakasan tersebut.

Malah, KDN dalam siasatannya turut menyita 32 produk berkenaan.

BACA LAGI: Peniaga asal Kompleks PKNS perlu diberi keutamaan kekal imej ikonik Shah Alam — Azli Yusof

Dalam kes penemuan stoking tertera kalimah ALLAH yang tular pada minggu lalu, polis pada Isnin memaklumkan akan memanggil beberapa pihak daripada rangkaian kedai serbaneka terbabit, iaitu KK Mart bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum itu pada Sabtu, pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan permohonan maaf berhubung insiden penjualan stoking tertera tulisan ALLAH tersebut yang berlaku di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram