'Ybae Suria Masuk Kampung' gegarkan Pulau Pinang, Johor dan Klang Ramadan ini


  • Hiburan
  • Selasa, 12 Mac 2024

Program Ybae Suria Masuk Kampung yang akan dilaksanakan oleh Suria FM bermula 16 Mac hingga 30 Mac 2024.

SURIA FM menyajikan pelbagai pengisian menarik menerusi Kempen Raikan Yang Dirai sepanjang Ramadan 2024 dengan penganjuran program 'Ybae Suria Masuk Kampung' bermula 16 Mac hingga 30 Mac 2024.

Program itu menampilkan barisan penyampai Suria di beberapa lokasi terpilih seperti di Pulau Pinang (16 Mac), Muar, Johor (23 Mac), dan Lembah Klang (30 Mac).

Pada Sabtu ini (16 Mac), penyampai Suria FM, Datuk Fizz Fairuz, Ajak, Kai Hassan, Cik Piah, Rara, Chiwan dan DJ Lin, akan bersama-sama menyantuni penduduk sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang yang bertempat di Masjid Al-Jamiul Badawi.

photo_6305211475035274006_y

Ajak (kiri), Kai Hassan (tengah) dan Fizz Fairuz (kanan) antara penyampai Suria yang menyertai program tersebut.

Acara yang akan bermula seawal 10 pagi itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya, rewang bersama penduduk, pengagihan bubur kanji, berbuka puasa, solat terawih berjemaah.

Bagi menjayakan kempen #SuriaKongsiRezeki, Suria FM akan turut menyerahkan sumbangan kepada pihak masjid serta kanak-kanak dan warga emas yang hadir.

Majlis juga akan diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berhormat, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam.

photo_6305211475035274007_y

Program yang bertujuan untuk memeriahkan lagi bulan Ramadan.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berkata, program tersebut bertujuan mengimarahkan kedatangan Ramadan Al-Mubarak dengan berkongsi rezeki selain menghargai kesetiaan pendengar setia sekali gus mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara penyampai dan pendengar Suria FM.

“Di kesempatan ini juga, saya mewakili seluruh warga kerja Suria FM ingin mengucapkan Salam Ramadan Al-Mubarak kepada semua khasnya untuk pendengar setia kami di mana pun mereka berada.

"Buat pendengar Suria di Selatan tanah air, nantikan kedatangan penyampai Suria pada 23 Mac bertempat di Masjid Sg Abong, Muar, Johor,” ujarnya.

photo_6305211475035274004_y

Program 'Suria Belanja Makan' yang diadakan pada Sabtu lalu.

Selain itu, Suria FM dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sekali lagi menjalin kerjasama menerusi program 'Suria Belanja Makan' yang telah diadakan pada Sabtu lalu di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur bersempena sambutan ‘Semarak Ramadan Madani' peringkat kebangsaan.

Acara yang bermula pukul 9 pagi itu menghadiahkan pengunjung goodie bag (beg hadiah) percuma berisi produk Agro Madani dan barangan eksklusif Suria serta berpeluang beramah mesra bersama penyampai Morning Morning Suria, Dato Fizz Fairuz, Ajak dan Kai Hassan.

Maklumat lanjut, layari laman web Suria suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia: Instagram: suriamalaysia l Facebook: @SuriaMalaysia l TikTok: @suriamalaysia l Youtube: SuriaTV l X: @suria_malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram