[VIDEO] OKT lolos lokap sempat tetak 2 anggota guna kapak sebelum cabut lari


  • Benua
  • Isnin, 04 Mac 2024

Tangkap layar video tular kejadian seorang anggota polis maut manakala rakannya cedera parah selepas ditetak menggunakan kapak ketika bertugas di India. — Agensi

KERJAYA sebagai anggota polis bukanlah pekerjaan yang mudah dan setiap anggota pastinya berhadapan dengan pelbagai cabaran tertentu.

Mereka juga berdepan risiko apabila berada di barisan hadapan demi menjaga ketenteraman, memelihara keamanan memastikan keselamatan negara serta komuniti berada pada tahap yang terkawal.

Malah ada yang kehilangan nyawa ketika menjalankan tugas terutamanya berhadapan dengan penjenayah yang tiada nilai kemanusiaan.

Begitulah yang terjadi pada seorang anggota polis pada 2018 apabila dia maut manakala rakan setugas cedera parah selepas ditetak dengan kapak ketika bertugas di balai.

Kejadian ngeri yang berlaku di India itu masih lagi menjadi bualan dalam kalangan warga maya di seluruh dunia.

Manakan tidak, video kejadian malang yang menimpa kedua-dua anggota polis tersebut masih lagi tular sehingga kini.

Difahamkan, suspek, Vishnu Rajawat, ditahan reman sementara di lokap balai polis daerah Bhind sehari sebelum waktu kejadian kerana menimbulkan kegusaran awam.

Namun, suspek yang berusia 25 tahun pada ketika itu berjaya meloloskan diri dari lokap tersebut sebelum menyerang dan menetak kedua-dua mangsa.

Insiden ngeri itu turut dirakam kamera televisyen tertutup (CCTV) balai berkenaan.

Memetik laporan media antarabangsa, Vishnu hanya dikurung di dalam lokap dengan tangannya digari.

Dalam video berdurasi kurang seminit itu, kelihatan Vishnu datang dari arah belakang sambil memegang kapak tersebut.

Kehadiran suspek tidak disedari kedua-dua mangsa.

Suspek kemudiannya dilihat menetak mangsa sebelum melarikan diri dari balai tersebut sebelum ditangkap tiga jam kemudian.

Difahamkan, Vishnu telah didakwa atas pertuduhan membunuh dan dijatuhkan penjara seumur hidup. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram