[VIDEO] Bekas bendahari mengaku tak salah guna RM12,000 duit masjid di Kampung Sri Machap


Pemandu lori itu didakwa menyalahgunakan harta iaitu wang milik Masjid Al Ubudian Kampung Sri Machap, Johor berjumlah RM12,000.

BEKAS bendahari Masjid Al Ubudian Kampung Sri Machap, Johor Bahru, Johor dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin bagi pertuduhan menyalahgunakan wang milik masjid dua tahun lalu.

Tertuduh, Syaharullah Ismail, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, pemandu lori itu didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang milik Masjid di Kampung Sri Machap berjumlah RM12,000.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 9.17 malam di sebuah bank di Bangunan Tabung Haji, Jalan Dato’ Kapten Ahmad, Kluang pada 12 November 2022.

BACA LAGI: Terigau-igau urus jenazah bayi tanpa kepala, dibuang dalam tangki kumbahan

BACA LAGI: [VIDEO] Siap cabut brek, 'Superman' RXZ Fighter bagi isyarat berhenti lepas tergolek sebelum kamera Awas rupanya berlumba

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang enam bulan penjara dan tidak lebih daripada lima tahun dan sebatan selain boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Zahida Muhammad Ruzi, membenarkan pemandu lori itu diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM cawangan Kluang sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 8 April ini sebagai sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram