Musoddak gesa SPRM percepat siasatan terhadap Aman Palestin


  • Massa
  • Selasa, 05 Dis 2023

Siasatan terhadap Aman Palestin yang dikatakan perlu dipercepatkan bagi menyempurnakan bantuan ke Gaza.

SIASATAN terhadap pertubuhan amal, Aman Palestin atas dakwaan penyalahgunaan dana awam digesa supaya dipercepatkan, kata Senator Musoddak Ahmad di Dewan Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.

Musoddak berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak segera kerana seluruh rakyat mahu bantuan yang disumbangkan melalui Aman Palestin dapat disampaikan segera ketika penduduk Gaza.

“Ia masih dalam siasatan SPRM, maka kita serahkan kepada pihak SPRM yang buat siasatan ini. Bagaimanapun, mungkin dana-dana yang ada dalam akaun mereka itu boleh pihak SPRM melepaskan segera untuk disampaikan kepada penduduk di Gaza terlebih dahulu.

“Saya dapati di antara mereka ada yang sanggup menjual motosikal, ada yang sanggup menjual kerbau dan ada yang menjual barang kemas untuk disumbangkan rakyat Palestin, inilah rakyat Malaysia yang suka memberi derma,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Negara pada Selasa.

msg1050426791-19827

Musoddak menggesa perkara itu dipercepatkan. — Bernama

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang sebelum ini mengesahkan pihaknya membekukan 41 akaun bank syarikat pertubuhan itu bernilai RM15 juta.

Terdahulu, Azam berkata, pembekuan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestn menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

Pada masa sama, Musoddak mencadangkan agar kerajaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dapat mencetuskan gelombang sokongan rakyat terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi meningkatkan lagi sumbangan dari rakyat Malaysia.

“Dalam perkara ini, saya ingin mengetahui perancangan Wisma Putra bagi mengerakkan sokongan pasca peperangan di sana saya yakin malaysia telah melakukan pelbagai usaha demi menyokong perjuangan rakyat Palestin meskipun terdapat perbezaan sesama kita.

“Saya juga mencadangkan supaya kerajaan bersama NGO untuk melakukan gelombang solidariti palestin untuk kali kedua untuk meningkatkan jumlah bantuan kemanusiaan dan keperluan asas daripada rakyat malaysia yang cintakan palestin,” katanya lagi. — MalaysiaGazette

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram