[VIDEO] Aktivis PSM ditahan ketika perhimpunan 'bebaskan Palestin' depan kedutaan AS


  • 112
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan Harmit yang ditahan polis ketika perhimpunan tersebut. — Twitter/PSM

SALAH seorang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan polis ketika perhimpunan pro-Palestin yang berlangsung di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Tangkapan itu dilakukan susulan perbuatan mengingkari arahan pegawai polis supaya tidak melintasi pegawai tersebut.

Menerusi video dikongsikan PSM di Twitter (X) pada hari yang sama, aktivis tersebut bernama Harmit Singh dikatakan telah ditahan polis ketika berkumpul untuk menyerahkan memorandum Bebaskan Palestin di lokasi tersebut.

msg1050426791-26370

Pihak polis yang sedang berbincang bersama beberapa lagi ahli PSM ketika itu. — Twitter/PSM

Manakala, Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan dilaporkan berkata, Harmit ditahan sebelum protes itu berlangsung.

Harmit juga dikatakan berjalan ke kedutaan AS dan terdapat lima orang lagi yang berada di lokasi itu pada masa sama.

Sivarajan dilaporkan berkata, mengikut Akta Perhimpunan Aman, notis demonstrasi telah dikemukakan pada Isnin malah, penganjur dikatakan telah bertemu dengan pihak polis pada Khamis.

Sementara itu, polis turut dilaporkan sudah mengambil dokumen Harmit sebelum membebaskannya ketika itu.

msg1050426791-26369

Perhimpunan pro-Palestin yang dilakukan di hadapan kedutaan AS pada Sabtu. — Twitter/PSM

Harmit bagaimanapun dilaporkan akan diminta untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pudu pukul 7 malam pada Sabtu.

Dalam video tersebut, seramai lebih 50 orang dilihat hadir membuat protes di luar kedutaan AS.

Sebelum ini, AS dilaporkan membantu dan bersubahat dengan Israel berhubung serangan berterusan terhadap Gaza sejak Oktober 2023.

Sehingga kini, serangan yang dilakukan Israel itu dilihat tidak pernah berhenti dan hampir 30,000 rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak telah terbunuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram