POLIS memandang serius aksi seorang pemandu bas persiaran mengisi minyak sambil merokok di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, Behrang, Perak yang tular sejak Rabu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, semakan pihaknya mendapati insiden itu berlaku pada Ahad lepas.
"Pemilik stesen minyak telah membuat aduan terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang bertanggungjawab bagi mengambil tindakan atas perbuatan yang dilakukan oleh pengguna tersebut," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis malam.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu H no plat '2 angka' hati kering lawan arus, kaw-kaw kena kejar polis Johor
BACA LAGI: [VIDEO] Polis Johor tahan warga Bangladesh tiada lesen pandu kereta lawan arus
Beliau berkata, kesalahan yang dilakukan boleh diambil tindakan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntuk hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM10,000 jika sabit kesalahan.
Justeru, katanya pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak merokok di kawasan larangan terutama stesen minyak yang boleh menyebabkan kecederaan, bencana dan membahayakan nyawa orang ramai.
Terdahulu, tular video berdurasi 57 saat memaparkan lelaki menghisap rokok sambil mengisi minyak dan rata-rata warganet meninggalkan komen negatif kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini akibat perlakuan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram