SEORANG peniaga pasar malam maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 166.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) semasa dalam perjalanan menyertai acara RXZ Fighter Gathering 2024 di Kuantan, Pahang pada Jumaat.
Rakan mangsa, @Zulkarnine Ishak menerusi Facebook meluahkan rasa sebak atas pemergian rakannya itu yang difahamkan sering menghulurkan bantuan kepadanya.
"Belum sempat kita sampai Lokman. RXZ Fighter. Tapi ALLAH lebih sayang hang. Neng hanya mampu teman sebelah Lokman. Hari terakhir Loqman, Neng ada sebelah. Itu sahaja mampu. Semoga arwah ditempatkan dkalangan org beriman. Mohon kawan-kawan doakan dan sedekahkan Al-Fatihah buat sahabat Neng. Hari Jumaat yang mulia hang pergi @muhd_lkmn. Terima kasih loq selalu tengokkan motor neng, siapkan motor neng. Lepas ini tiada dah orang selalu tolong neng," tulisnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu H no plat '2 angka' hati kering lawan arus, kaw-kaw kena kejar polis Johor
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan, Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 10:55 pagi ketika mangsa berkonvoi dari Kuala Kangsar, Perak ke Kuantan, Pahang untuk menyertai program RXZ Fighter Gathering 2024 yang bermula pada Jumaat.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Lokman Abdul Aziz, 29, berasal dari Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar bersama rakan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.
Katanya, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan serta melanggar besi penghadang jalan.
“Hasil temubual awal dengan rakan mangsa di tempat kejadian, mereka berkonvoi 14 motosikal.
“Ketika konvoi motosikal mangsa berada di kedudukan belakang sekali. Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Zamri berkata, hasil siasatan awal, polis percaya nahas berlaku kerana mangsa gagal kegagalan mengawal motosikal ditunggangi dan menyebabkan kemalangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram