SEAKAN-akan langsung tidak menghiraukan keselamatan penumpang, seorang pemandu bas dikecam selepas perbuatannya merokok ketika mengisi minyak tular di media sosial.
Klip tersebut yang dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak dekat Muallim, Perak tersebar sejak Isnin.
Menerusi video berdurasi 45 saat itu, lelaki tersebut dilihat merokok sepanjang melakukan proses mengisi bahan api tersebut ke dalam tangki bas berkenaan.
Malah, selepas selesai melakukan pengisian, pemandu terbabit juga dipercayai hanya membuang puntung rokok yang sudah dihisap secara sembarangan di dalam kawasan stesen minyak tersebut.
"Korang rasa apa dalam 'kepala otak' pak cik itu? Kalau nasib tak baik mahuu jadi 'BBQ' orang dalam bas," tulis Cool_Wannabe82 yang memuat naik video berkenaan.
Klip tersebut difahamkan diambil dari dalam kereta individu yang ketika itu berada di stesen minyak terbabit.
Di ruangan komen, rata-rata warganet melahirkan kemarahan terhadap sikap pemandu berkenaan yang dilihat mengambil ringan mengenai aspek keselamatan ketika berada di stesen minyak.
Pemandu lelaki itu dipercayai turut membuang puntung rokok yang dihisapnya secara sembarangan persekitaran stesen minyak terbabit.
BACA LAGI: Tragedi pemandu maut dipukul di Kajang, 5 penghantar makanan didakwa membunuh
Menurut mereka, meskipun diesel merupakan bahan api yang lebih sukar terbakar berbanding petrol, perbuatan itu tetap berpotensi mencetuskan insiden yang tidak diingini.
"Siap baling puntung rokok tu. Dah tua pun bodoh, cubalah sekali melecur terbakar," tulis Fhxx96.
"Tak guna ajar orang tua, depa kalis teguran. Kena terbakar depan mata baru nak insaf," kata KyroRyo.
"Diesel tak menyambar macam petrol, sebab tu dia berani buat perkara bodoh macam itu," ujar zua_al_azmi.
"Diesel tak menyambar macam petrol, tapi salah tu tetap salah la," tulis qalroslan.
Untuk rekod, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 memperuntukkan individu yang merokok di kawasan stesen minyak boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun sekiranya disabit kesalahan.
Dalam pada itu, syarikat pengendali bas terbabit ketika dihubungi Majoriti memaklumkan pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung insiden tersebut.
Katanya, perkara itu hanya diketahui menerusi video tular berkenaan.
"Masih dalam siasatan, jadi kita tidak boleh maklumkan apa-apa lagi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram