[VIDEO] Penduduk Semenanjung Gaza berlindung di Rafah umpama tunggu giliran kematian


  • Benua
  • Jumaat, 16 Feb 2024

Keadaan di bandar Rafah pada ketika ini dilihat semakin meruncing selepas hampir 1.4 juta penduduk Palestin sedang terperangkap di bandar berkenaan.

KEADAAN di bandar Rafah pada ketika ini dilihat semakin meruncing selepas hampir 1.4 juta penduduk Palestin sedang terperangkap di bandar berkenaan.

Malah, penduduk Semenanjung Gaza yang berlindung di Rafah, umpama menunggu giliran kematian mereka apabila wilayah itu kini menjadi sasaran serangan terbaharu tentera Zionis.

Kebanyakan rakyat Palestin juga dilihat mendirikan pelbagai jenis tempat perlindungan untuk berlindung selepas berpindah dari medan perang di seluruh Gaza walaupun pada realitinya penempatan itu menjadi sasaran utama Zionis.

Laporan antarabangsa, Al-Jazeera melaporkan imej satelit daripada Planet Labs, bertarikh 13 Oktober dan 14 Januari, menunjukkan peningkatan ketara dalam khemah di sekitar bandar tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan Mesir telah membina 'zon keselamatan terpencil' di timur Gurun Sinai yang bersempadan dengan Genting Gaza yang berfungsi sebagai zon penampan bagi pelarian Palestin jika mereka dipaksa keluar dari Rafah oleh tentera Israel.

BACA LAGI : [VIDEO] Berebut tapak parkir, punca pemandu e-hailing, teksi limosin berbalas tumbukan di 'landside' KLIA

BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki warga emas maut tersepit, 2 lori bertembung di Cyberjaya

Rakaman dari tapak di padang pasir Sinai dan gambar satelit juga menunjukkan bahawa kawasan tersebut mampu menawarkan perlindungan asas kepada puluhan ribu rakyat Palestin sedang dibina dengan dinding konkrit didirikan di sebelah Mesir di persimpangan Rafah.

Kumpulan kontraktor tempatan memberitahu kumpulan hak asasi manusia bahawa kerja pembinaan telah diserahkan kepada Sons of Sinai Construction and Building Company, syarikat dimiliki ahli perniagaan Ibrahim al-Arjani.

Difahamkan kerja pembinaan itu bertujuan mewujudkan kawasan dikelilingi tembok setinggi tujuh meter dan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh 10 hari dan diselia Pihak Berkuasa Kejuruteraan Angkatan Tentera Mesir, dengan dikawal ketat.

Pembinaan itu dibuat ketika kebimbangan situasi buruk yang semakin meningkat di Gaza yang menyebabkan lebih 28,000 orang awam maut dan penghijrahan besar-besaran rakyat Palestin ke sempadan Mesir. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram