JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa memberi amaran bahawa Malaysia berkemungkinan berdepan dengan kejadian jerebu rentas sempadan dalam masa terdekat.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, situasi itu dijangka dialami negara susulan daripada cuaca lebih kering dijangka berlaku ekoran daripada fenomena iklim El Nino yang berterusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Jelasnya, kemungkinan kejadian jerebu itu dikuatkan lagi dengan ramalan pergerakan angin Monsun dari Barat Daya Malaysia pada bulan ini.
“Keadaan El Nino telah dikesan di tengah Lautan Pasifik dan dijangka berterusan sehingga awal 2024 dengan kebarangkalian lebih 90 peratus.
“Menurut ramalan agensi pemantau antarabangsa itu, kekuatannya dijangka mencapai tahap maksimum pada penghujung tahun ini dan awal tahun depan.
“Fenomena itu mampu menyebabkan cuaca kering berpanjangan dan mungkin menyebabkan hujan berkurangan yang seterusnya boleh mengakibatkan kebakaran hutan,” katanya seperti yang dilaporkan The Star.
Dalam pada itu, pada Isnin, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga kawasan di Sarawak menunjukkan tahap tidak sihat membabitkan kawasan di Sri Aman yang merekodkan bacaaan 154, Kuching (128) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian (131).
Untuk tempoh sama, keadaan di Semenanjung pula menyaksikan hanya empat kawasan mencatatkan IPU baik iaitu di Kedah dan Kangar (22), Langkawi (20), Alor Setar (37) serta termasuk Kota Bharu, Kelantan (48).
Keadaan terkini tahap udara di Kuala Lumpur pada Selasa.
Bacaan IPU di beberapa bandar untuk pula kembali mencatatkan bacaan sederhana dengan Shah Alam 99, Putrajaya (95), Cheras (98) dan Nilai (94).
Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 dan 50 kategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Insiden kejadian jerebu rentas sempadan bukanlah sesuatu yang asing bagi Malaysia.
Malah kemungkinan risiko fenomena tersebut boleh dikatakan berlaku setiap tahun namun tahap kemudaratannya adalah berbeza.
Disebabkan itu, masyarakat Malaysia seharusnya tidak memandang mudah amaran yang dikeluarkan MetMalaysia.
Ini kerana kejadian jerebu turut pernah beberapa kali mencetuskan situasi darurat di Malaysia sehingga menjejaskan kehidupan harian rakyat Malaysia.
Berikut Majoriti senaraikan tiga kejadian jerebu teruk pernah melanda negara:
1. Sarawak (1997)
Pada 1997, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa mengiytiharkan darurat di Sarawak selepas negeri tersebut mencatatkan bacaan IPU melebihi paras 'berbahaya'.
Rekod IPU tertinggi dalam sejarah negara itu juga merupakan pengisytiharan darurat jerebu alam sekitar pertama dalam sejarah negara yang berpunca daripada kebakaran hutan dan kawasan perladangan di Sumatera dan Kalimantan Indonesia.
Pembakaran hutan yang berpunca daripada pembersihatan kawasan pertanian di kawasan Sumatera dan Kalimantan, Indonesia sebelum ini sering kali menjadi punca kepada kejadian jerebu di Asia Tenggara. — Gambar hiasan
Selain Malaysia, turut terjejas akibat daripada kejadian tersebut ialah Singapura, Thailand, Brunei dan termasuk Indonesia sendiri.
Susulan daripada kejadian tersebut, negara-negara lain di Asia Tenggara pada tahun berikutkan mengambil tindakan proaktif dengan meluluskan pembentukan sistem amaran awal dalam Pelan Tindakan Jerebu Serantau melalui pertubuhan ASEAN.
2. Selangor (2005)
Pada 11 Ogos 2005, darurat alam sekitar sekali lagi diisytiharkan di dalam negara buat kali kedua membabitkan dua kawasan iaitu Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang apabila masing-masing mencatatkan bacaan IPU melebihi tahap kecemasan 521 dan 529.
Pada waktu ini, punca kejadian jerebu adalah akibat daripada kebakaran hutan yang di Sumatera, Indonesia.
Sehari sebelum darurat diumumkan, keraajan turut melaksanakan penutupan antaranya terhadap sekolah, pejabat kerajaan dan pelabuhan bagi kedua-dua kawasan terlibat.
Beberapa sekolah di kawasan Kuala Lumpur juga turut ditutup sehari sebelum pengumuman tersebut ekoran daripada cuaca buruk yang berlaku sementara orang ramai juga dinasihatkan tinggal di rumah dengan pintu ditutup.
Darurat berkenaan ditarik balik pada hari ketiga pelaksanaannya pada 13 Ogos 2005 selepas bacaan IPU merekodkan pemulihan.
3. Johor (2013)
Pada 2013, sekurang-kurangnya enam negeri di rantau Asia Tenggara terjejas akibat daripada krisis jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran di Sumatera dan Kalimantan Indonesia.
Jerebu yang melanda negara turut pernah menyebabkan penutupan sekolah di dalam negara. — Gambar hiasan
Selain Malaysia, negara lain yang turut sama menerima impak akibat bencana alam sekitar itu ialah Brunei, Singapura, Kemboja dan Filipina dalam insiden yang berlanjutan selama beberapa bulan dari Jun hingga Oktober tahun tersebut.
Penutupan sekolah turut dilaksanakan di negara seperti Indonesia, Singapura dan Malaysia.
Dilaporkan, hampir empat juta pelajar di dalam negara terjejas akibat situasi tersebut.
Di Malaysia, kerajaan mengumumkan pelaksanaan darurat di dua tempat iaitu di daerah Muar dan Ledang yang diletakkan di bawah status benaca pada Ogos 2013 apabila bacaan IPU di kawasan terbabit berada pada tahap bahaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram