CARUMAN Kumpulan Wang Simpanan Kerja (KWSP) merupakan sebahagian daripada tanggungjawab setiap majikan bagi pekerja dalam sektor swasta dan sektor awam terutama individu tidak berpencen.
Mengikut yang tertakluk di dalam Seksyen 43(1), Akta KWSP 1991 mewajibkan pekerja dan majikan membayar caruman bulanan dengan amaun upah pada bulan itu mengikut kadar ditetapkan.
Majikan juga perlu memastikan caruman pekerja dipotong dengan betul daripada gaji bulanan dan dibayar kepada KWSP dengan cara mudah iaitu secara dalam talian.
Pencarum Bumiputera adalah golongan paling terkesan daripada tindakan pengeluaran caruman dengan median nilai simpanan jatuh merudum lebih 70 peratus. — Gambar hiasan
Sampai suatu masa, simpanan KWSP pasti akan mencecah jumlah tertentu yang akan menjadi payung di masa tua kelak.
Tatkala kerajaan sebelum ini membenarkan empat kali pengeluaran KWSP demi meringankan beban rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa Covid-19, timbul isu ketidakcukupan simpanan persaraan.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencarum Bumiputera adalah golongan paling terkesan daripada tindakan pengeluaran caruman dengan median nilai simpanan jatuh merudum lebih 70 peratus kepada RM4,900 (berbanding RM15,500 prapandemik).
KWSP membenarkan empat kali pengeluaran ketika negara dilanda pandemik Covid-19. — Gambar hiasan
Selain itu, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan pada Februari 2023 dilaporkan berkata, simpanan median KWSP dalam kalangan Melayu menurun daripada RM16,900 kepada RM5,500 susulan pengeluaran ketika pandemik Covid-19.
Timbul persoalan adakah KWSP Melayu sikit seperti yang dikatakan? Dan adakah kaum Melayu boros selain tidak pandai menguruskan kewangan?
Bagi penulis kewangan, Mohd Kauthar Rozmal, beliau berpendapat bahawa kadar gaji yang diterima kaum Melayu didakwa lebih rendah berbanding kaum lain merupakan faktor sebenar kepada permasalahan itu.
"Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), median gaji Cina (RM4,000) dengan potongan KWSP (RM960). Median gaji Melayu (RM2,000) dengan potongan KWSP (RM480)," tulisnya.
Untuk rekod, laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 menyebut bahawa kaum Cina memperoleh median upah bulanan tertinggi sebanyak RM4,000, etnik India menerima median upah sejumlah RM2,500 dan Bumiputera (RM2,200).
Tangkapan skrin sebahagian penjelasan Kauthar.
Pada masa sama, Kauthar juga membuat perbandingan jumlah simpanan KWSP dalam tempoh 20 tahun dengan andaian 5 peratus dividen mengikut caruman dan gaji berkenaan setiap bulan.
"Jumlah simpanan KWSP dengan caruman bulanan RM960, berjumlah kira-kira RM380,000. Jumlah simpanan KWSP dengan bulanan RM480 (RM190,000).
"Jadi tidak pelik pun kenapa simpanan KWSP kaum Melayu lebih rendah," katanya.
Selepas melihat kadar jumlah simpanan itu, beliau juga tidak dapat menafikan bahawa kaum Melayu antara yang terendah.
"Tak tepat nak guna data KWSP untuk kata orang Melayu tak pandai menyimpan.
"Nak KWSP banyak, gaji kena tinggi. KWSP ini bukan boleh keluar senang-senang," dakwanya.
Tambahnya, masalah pengurusan wang adalah isu sejagat tidak mengira kaum, negara atau umur.
Namun, ada juga yang berpendapat bahawa masalah itu boleh diatasi mengikut kehendak setiap individu itu.
"Secara peribadi untuk saya, kalau kita ada target (sasaran), ada niat simpan, kalau tercapai kita akan dapat lihat hasil. Kalau tak tercapai, kita tahu usaha kita.
"Tapi sebahagian orang, target pun tiada. Bandinglah macam mana pun, tak ada apa boleh buat," komen @irzu09. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram