Kontroversi Nik Elin Zurina: PAS desak segerakan pindaan Perlembagaan


  • Primer
  • Sabtu, 10 Feb 2024

Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa pindaan Perlembagaan segera dilakukan.

SUSULAN daripada pembatalan 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 oleh Mahkamah Persekutuan pada Jumaat, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa pindaan Perlembagaan segera dilaksanakan.

Menurutnya, pindaan itu perlu bagi mencegah mana-mana pihak mempertikaikan bidang kuasa perundangan negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Raja-Raja.

Katanya, gesaan itu juga perlu dibuat ekoran daripada bidang kuasa Mahkamah Syariah semakin terhakis dan semakin mencabar melaksanakan perintah ALLAH SWT.

"Pembatalan 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 itu mendedahkan ia merupakan kesan dramatis peninggalan penjajah dan secara tidak langsung mengubah landskap perundangan negara," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Sabtu.

BACA LAGI : Mabuk, liwat dan bersetubuh dengan mayat antara 16 dari 18 peruntukan terbatal dalam Enakmen Syariah Kelantan

BACA LAGI : [VIDEO] Tatkala Muhyiddin komen pasal Nik Elin Zurina, video anak jadi jockey kelab malam pula tersebar

Tambahnya lagi, meskipun pelbagai usaha telah dilakukan sehingga terbentuknya sistem Mahkamah Syariah, namun ia tetap masih jauh dari mencapai kesempurnaan hukum Islam secara menyeluruh.

"Undang-undang Islam telah digubal jauh lebih awal sebelum kedatangan Barat ke Tanah Melayu, bahkan sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan.

"Kaedah perbicaraan dan syarat menjadi hakim dalam mahkamah syariah jelas berbeza daripada syarat dalam mahkamah sivil. Bahkan, syarat menjadi saksi serta kaedah perundangan Islam memiliki sistemnya yang tersendiri.

"Maka, menyatakan bahawa mahkamah sivil juga sama dalam membicarakan kes-kes takzir adalah tidak tepat, kerana syarat saksi dan hakim tidak memenuhi syarat dalam sistem perundangan Islam.

“Keputusan ini menunjukkan bahawa hukum syarak, yang sepatutnya menjadi panduan mutlak dalam pelaksanaan ajaran ALLAH SWT, kini terasa semakin terpinggir di bawah bayang undang-undang ciptaan manusia bersifat sekular,” katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan antara peruntukan Enakmen Syariah yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Jumaat ialah Seksyen 11 mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 (persetubuhan dengan mayat), Seksyen 17 (persetubuhan dengan bukan manusia) dan gangguan seksual (Seksyen 31).

Enakmen lain yang turut diisytihar tidak sah termasuk Seksyen 31 berkaitan memberi maklumat palsu, Seksyen 36 (mabuk), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45) dan Seksyen 42 (penyalahgunaan label halal).

Keputusan itu dibuat ekoran daripada petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram