Kerajaan tidak terlibat keputusan kes Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan — PM Anwar


  • Primer
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Perdana Menteri berkata, kerajaan ketika ini menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengkaji perkara berkaitan undang-undang syariah di setiap negeri.

KERAJAAN Perpaduan tidak terlibat dalam keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ia diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berdasarkan kuasa yang ada di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan itu tidak ada kena mengena dengan (mahkamah) syariah.. ia mengenai kuasa negeri.

"Katalah Ketua Menteri buat beberapa undang-undang baharu yang bercanggah dengan kuasa negeri dan kuasa Perlembagaan Persekutuan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan, maka boleh dirujuk dan Mahkamah Persekutuan akan dapati, sekiranya bercanggah akan membatalkan (undang-undang yang dibuat pada sidang DUN)," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat.

BACA LAGI : Mabuk, liwat dan bersetubuh dengan mayat antara 16 dari 18 peruntukan terbatal dalam Enakmen Syariah Kelantan

2536474

Nik Elin (tengah) membuat petisyen bagi mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Syariah Kelantan. — Malaysia Tribune

BACA LAGI : Jumaat yang 'hitam' terhadap undang-undang syariah Islam — Takiyuddin Hassan

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu Perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pembangkang bagaimanapun memainkan sentimen agama dalam usaha menonjolkan Kerajaan Persekutuan pimpinan beliau menentang Islam sedangkan permohonan kedua-dua wanita difailkan ketika Perikatan Nasional menjadi kerajaan.

"... dia tahu (tentang kuasa Persekutuan dan Negeri) tapi dia gunakan sentimen supaya orang Islam merasakan kerajaan pimpinan Anwar ini memang menentang syariah padahal tidak ada kena-mengena dengan kita.

"Undang-Undang Negeri Kelantan, yang cabar orang Kelantan, dia cabar di Mahkamah Persekutuan bukan Kabinet, bukan Perdana Menteri dan nak tanya sama ada undang-undang itu ikut, sah dari segi proses atau tidak dan mahkamah memutuskan dari segi bidang kuasa dan proses, tidak betul.

"Apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu Perikatan Nasional, dia tak bantah (ketika permohonan cabaran undang-undang dikemukakan). Ini berlaku pada 2020 dan 2021 (tapi) sekarang dibantah, dijadikan bahan politik," katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata, kerajaan ketika ini menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengkaji perkara berkaitan undang-undang syariah di setiap negeri.

"Dulu tidak ada tindakan di peringkat jawatankuasa kebangsaan untuk mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah dan kuasa tentang hukum syariah, sekarang sudah ada.

"Apa peranan dia? Untuk memutuskan peranan Mahkamah Syariah dalam negara ini. Jadi saudara-saudara, isunya apa? Isunya ialah bidang kuasa Negeri dan bidang kuasa Persekutuan. Isu yang dimainkan oleh pembangkang ialah kita menentang syariah," katanya.

Anwar juga berkata, kerajaan tidak campur tangan dalam isu pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana yang diumumkan baru-baru ini.

"Didakwa ini semua peranan PM dan Menteri Kabinet. Kabinet tidak pernah membincangkan, saya hanya melaporkan minggu lepas setelah keputusan dibuat," katanya.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram