[VIDEO] Pekerja lori sampah terdengar bunyi 'meow', rupanya kucing dibuang dalam guni


  • Tular
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan dua pekerja syarikat pembersihan menyelamatkan kucing yang dibuang di dalam guni di Alor Setar, Kedah pada Khamis.

TINDAKAN pihak tidak bertanggungjawab membungkus seekor kucing di dalam guni dan membuangnya ke tong sampah mengundang kemarahan ramai.

Hal itu diketahui selepas tularnya rakaman video memaparkan dua orang pekerja kontraktor syarikat pembersihan yang sempat menyelamatkan kucing tersebut.

Dalam video tular sejak Jumaat itu, kelihatan kedua-dua pekerja terbabit berusaha mencari bunyi raungan kucing yang tertimbun dalam longgokan sampah di lori yang digunakan.

BACA LAGI: Lelaki letak nota mengaku pelajar Tingkatan 3 selamba buang kucing depan kedai

Mereka dilihat berganding bahu menyelongkar sampah yang telah dikumpul dalam lori tersebut sebelum membawa keluar sekarung guni sederhana kecil yang diisi dengan seekor kucing.

Tanpa berlengah, pekerja terbabit dilihat terus membuka ikatan guni dan melepaskan kucing berkenaan di tepi jalan.

Salah seorang pekerja itu dilaporkan berkata, kejadian berlaku ketika dia dan rakannya yang lain sedang melakukan tugas mengangkut sampah ke dalam lori syarikatnya.

Dia dilaporkan berkata, perkara itu terjadi selepas dia terdengar suara kucing yang disangka berada di bawah lori.

Bagaimanapun lokasi dan tarikh sebenar kejadian tidak dapati dipastikan.

Sementara itu, tindakannya dan pekerja lain yang membantu menyelamatkan kucing tersebut meraih pujian warganet.

Manakala, ramai juga mengecam tindakan individu yang bertindak membuang haiwan comel itu kerana menganggapnya sebagai tiada sifat perikemanusiaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram