[VIDEO] Lelaki seksa kucing, hempas ke dinding berkali-kali lepas lauk makanan kena kacau


  • Benua
  • Isnin, 08 Jan 2024

Tangkap layar video tular memaparkan perbuatan pemuda terbabit yang menyeksa haiwan malang tersebut dalam kejadian pada 5 Januari lalu. — Agensi

SOSIAL media di Indonesia pada Sabtu gempar selepas tular satu video memaparkan perbuatan kejam seorang lelaki menyeksa seekor kucing.

Lebih mengejutkan, dalam insiden tersebut, pemuda yang kemudiannya dikenali sebagai Surwanto, 26, dilihat menghempaskan haiwan berkenaan ke dinding di luar rumahnya berulang kali dengan begitu kuat.

Video kejadian yang dimuat naik oleh akaun Instagram pencinta haiwan, animals_hopeshelterIndonesia itu dilaporkan berlaku di Kampung Kenteng, Kelurahan Mojo, Kecamatan Pasar Kliwon, Kota Solo, Indonesia pada 5 Januari lalu.

BACA LAGI: Rumah kes seksa, bunuh kucing tidak berpenghuni dan tiada bangkai — Jabatan Veterinar

Menerusi klip tular tersebut, pemuda terbabit yang berambut panjang dan tidak berpakaian dilihat sedang memegang dua ekor kucing serta berada dalam keadaan cukup beremosi.

Dia kemudiannya dipaparkan menghempas salah seekor kucing yang dipegang di tangannya di dinding luar rumah berulang kali dengan cukup kuat sambil diperhatikan beberapa orang penduduk.

Dalam pada itu, satu laporan media yang memetik temu bual bersama seorang aktivis haiwan di Kota Solo, Ning Henig Yulia memaklumkan bahawa kejadian itu berpunca selepas lelaki itu tidak berpuas hati dengan insiden pertengkaran membabitkan kedua-dua ibu bapanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pembenci kucing dipaksa makan najis lepas seksa bulus sampai mati

Ning yang turut melakukan penyiasatan di rumah pemuda terbabit selepas kejadian berkenaan tular menyatakan, emosi Surwanto menjadi lebih buruk selepas diambil oleh seekor kucing.

"Dia jadi beremosi awalnya kerana ibu bapanya bertengkar. Kemudian dia jadi bertambah emosi apabila lauk makanannya diambil kucing," ujar Ning.

Kucing yang diseksa dalam kejadian itu dilaporkan mengalami luka parah dan kini sedang mendapatkan rawatan.

Sementara itu, beberapa komuniti pencinta haiwan di Kota Solo difahamkan sudah membuat laporan terhadap pihak polis berhubung insiden tersebut selepas mengumpul beberapa bukti mengenai penganiayaan yang berlaku.

Jika didapati bersalah, pemuda terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sembilan bulan dan denda maksimum 400,000 rupiah (RM120). — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram