AHLI keluarga Datuk Seri Najib Razak, meluahkan rasa kecewa dan kesal ekoran daripada keputusan bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat pengampunan penuh untuk dibebaskan serta-merta.
Perkara itu diluahkan oleh anaknya, Nooryana Najwa melalui akaun Instagram miliknya pada Jumaat.
"Walaupun kami menghargai pengurangan hukuman daripada 12 tahun kepada enam tahun yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan setelah pertimbangan pendapat dan nasihat, kami berasa kecewa kerana Datuk Seri Najib Razak tidak mendapat pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta.
"Mereka yang mengikuti kes SRC secara dekat sudah tentunya tahu dan bersetuju dengan penghakiman oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak tahun lalu bahawa ketidakadilan yang besar berlaku ke atas Datuk Seri Najib dan keputusan yang betul ialah beliau wajar dilepaskan dan dibebaskan," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Najib bebas 2028, hukuman penjara, denda dikurangkan lebih 70 peratus — Lembaga Pengampunan
BACA LAGI: Andai benar dapat pengampunan, 5 perkara yang boleh dilakukan Najib Razak
Terdahulu, Majoriti melaporkan Lembaga Pengampunan memutuskan untuk memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dan lebih 70 peratus untuk denda yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Perkara tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh urusetia Lembaga Pengampunan pada Jumaat.
Untuk rekod, Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta yang telah disedut daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Bekas Perdana Menteri itu juga sedang berdepan perbicaraan berkaitan kes salah guna kuasa melibatkan dana kewangan mencecah RM2.28 bilion, yang juga dipercayai memiliki kaitan dengan 1MDB.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
