Kes guru cabul pelajar di Sabak Bernam, Peguam Negara perlu jelaskan sebab lambat dakwa suspek


  • Massa
  • Rabu, 24 Jan 2024

Faizal (kanan) bersama dua lagi ahli keluarga mangsa ketika mendedahkan kes tersebut pada 10 Januari lalu.

HAMPIR lebih lima tahun, kes gangguan seksual melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor pada 2019 masih tiada titik noktah.

Terdahulu, Majoriti melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Tiga di sekolah terbabit menerima gangguan seksual daripada guru lelakinya menerusi hantaran gambar di aplikasi WhatsApp.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah tiada sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa mahupun sekolah serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung kes tersebut.

BACA LAGI: Ibu kecewa, dakwa guru cabul anak masih mengajar tanpa dikenakan tindakan undang-undang

msg1050426791-23709

Azizah Muhammad Shaari, 59, ibu kepada mangsa (kanan) yang kecewa dengan penangguhan kes melibatkan anaknya.

Sebelum ini, peguam yang mewakili mangsa, Faizal Rahman berkata, pelbagai usaha diambil oleh pihak keluarga untuk mendapatkan keadilan dengan membawa suspek ke peringkat pendakwaan.

Malangnya, Faizal mendakwa, tiada maklum balas daripada mana-mana pihak termasuk mahkamah untuk melakukan pendakwaan walaupun sudah mendapat kebenaran daripada Polis Bukit Aman.

Terbaharu, Faizal turut memaklumkan bahawa usahanya menghantar surat meminta penjelasan kepada Jabatan Peguam Negara pada minggu lalu tidak berhasil.

"Kesemua laporan menyokong keterangan mangsa sudah dinyatakan dan laporan forensik menjumpai gambar-gambar mangsa yang diminta suspek.

"Keterangan saksi bebas untuk menyokong mangsa juga sudah ada. Jadi penangguhan kes adalah pada pendakwaan.

"Sedangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sampai ke Bukit Aman sudah berikan cadangan untuk tuduh," katanya kepada Majoriti.

Bukan itu sahaja, Faizal mendakwa, siasatan daripada polis sudah lengkap tetapi pihak pendakwaan masih tidak mahu keluarkan arahan untuk tertuduh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram