
DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa parti itu tamak dalam isu jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, sambil menegaskan tidak timbul soal berkecil hati.
Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno itu berkata, beliau menghormati keputusan disampaikan kepadanya dalam mesyuarat bersama Umno Selangor pada Ahad.
Menurut Zahid, Umno mempunyai 22 ketua bahagian di negeri itu, namun hanya 20 yang ditawarkan untuk jawatan tersebut.
"Kalau ada yang tidak dapat, ada yang dapat, lebih baik tolak semua," katanya ketika sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal di Kementerian Pengangkutan pada Isnin.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Ahmad Zahid berkata, keputusan 20 ketua bahagian menolak jawatan itu wajar dihormati.
Katanya lagi, meskipun demikian, Umno Selangor sedia memberi sokongan terhadap program kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari.
“Kita serah kepada kerajaan perpaduan Selangor di bawah kepimpinan Amirudin untuk bersama kami, walaupun di luar PBT kami tetap sokong kerajaan negeri,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita penggal kepala anak jiran, pura-pura ikut solat jenazah
Pada Sabtu, Pengerusi Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dilaporkan berkata, jawatankuasa perhubungan negeri memutuskan untuk menyerahkan semula 20 jawatan PBT kepada Pakatan Harapan, tetapi menafikan berbuat demikian sebagai tanda protes.
Beliau berkata, keputusan untuk mengembalikan jawatan itu kepada PH adalah untuk menolak dakwaan bahawa ia bersifat tamak dan 'demanding'.
Megat Zulkarnain menegaskan bahawa 20 daripada 288 jawatan ahli majlis PBT mencapai hanya tujuh peratus.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, Umno mahu semua 373 jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung. — TheStar/MAZWIN NIK ANIS
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram