Tak lepaskan beg punca lelaki cedera dikelar penyamun ketika joging di Shah Alam


  • Tular
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Tangan seorang lelaki dikelar individu tidak dikenali semasa keluar berjoging seawal pukul 6 pagi. — Twitter/@ZaraaZameen

SEORANG lelaki berdepan detik cemas apabila dirinya diserang individu tidak dikenali semasa keluar berjoging seawal pukul 6 pagi baru-baru ini.

Pendedahan itu dibuat menerusi ciapan di laman X (Twitter) @ZaraaZameen yang tular sejak Khamis.

Menerusi ciapannya itu, mangsa yang berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan agak serius pada kedua-dua belah tangannya akibat dikelar individu yang didakwa ingin merompak itu.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sekitar Seksyen 27, Shah Alam, Selangor.

"Hati-hati warga Shah Alam yang suka joging sendirian pada waktu pagi! Kawasan rumah aku Seksyen 27 ada yang kena kelar semasa joging pukul 6 pagi sebab ada orang nak rompak.

"Berhati-hatilah terutamanya perempuan. Yang ini lelaki pun kena, kalau perempuan tak tahulah," ciapnya.

Pengguna akaun tersebut turut memuat naik tangkap layar perbualan daripada group WhatsApp yang mengesahkan insiden ngeri berkenaan.

Difahamkan, mangsa yang juga merupakan penduduk di Laman Seri, Shah Alam mempunyai rutin berjalan kaki seawal pukul 6 hingga 6.30 pagi.

Dia dipercayai diserang kira-kira pukul 6 pagi di hadapan Sekolah Kebangsaan Seksyen 27 berhampiran kawasan perumahannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian rompakan tersebut.

Beliau berkata, seorang lelaki yang menunggang motosikal dan bersenjatakan parang datang ke arah mangsa, sebelum berhenti dan merampas beg milik mangsa.

"Mangsa bagaimanapun menarik semula beg tersebut menyebabkan suspek bertindak mencederakannya.

"Mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.

"Tiada sebarang kerugian dialami mangsa dan polis menerima laporan polis yang dibuat oleh kakak mangsa pada malam semalam (Khamis)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Iqbal turut memaklumkan, kes disiasat di bawah seksyen 394 kanun keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.

"Usaha untuk kesan dan tangkap suspek sedang giat dijalankan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram