[VIDEO] Siap sempat ragut makcik, suspek pencuri motosikal cabut lari lepas bergelut dengan orang ramai di Gombak


  • Tular
  • Rabu, 17 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan orang ramai menghentikan cubaan kedua-dua suspek untuk melarikan diri dengan menaiki motosikal.

TULAR satu kejadian pergelutan membabitkan sekumpulan orang ramai bersama dua individu dipercayai pencuri motosikal dalam kejadian di Gombak, Selangor.

Menerusi video berdurasi tiga minit yang beredar di media sosial pada Rabu, dua lelaki dilihat dikerumuni beberapa orang awam sambil cuba untuk menghidupkan sebuah motosikal yang terbabas di tepi jalan.

Berdasarkan klip tersebut, salah seorang daripada suspek didapati turut memegang topi keledar dipercayai cuba untuk menghalang orang awam daripada menahan dirinya dan rakannya.

Pada awal video berkenaan, kedua-dua lelaki itu dilihat dapat menghidupkan motosikal tersebut sebelum cuba untuk lari.

Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila motosikal yang dinaiki hilang kawalan dan terjatuh tidak jauh daripada orang ramai.

Berdasarkan maklumat awal diperolehi, kedua-dua suspek bersama terbabit dipercayai sedang melakukan kegiatan curi motosikal di berdekatan lokasi tersebut.

Bagaimanapun, sebelum melakukan jenayah terbabit, mereka yang menaiki sebuah motosikal dipercayai terlebih dahulu meragut seorang wanita yang sedang membuang sampah di hadapan rumah.

Ekoran daripada perbuatan tersebut, ahli keluarga mangsa wanita terbabit terus mengejar kedua-dua suspek dengan menaiki motosikal sehingga ke lokasi rakaman kejadian berkenaan.

Difahamkan, motosikal dinaiki kedua-dua suspek terbabas ketika dikejar oleh orang ramai.

Bagaimanapun, dalam pergelutan tersebut, salah seorang daripada suspek berjaya melarikan diri dengan menaiki motosikal milik ahli keluarga mangsa yang diletakkan di tempat kejadian.

Pada masa sama, seorang lagi suspek yang dilihat dalam video tersebut difahamkan berjaya ditahan selepas motor yang dinaiki rakannya rosak dan gagal dihidupkan.

Motosikal yang dilarikan salah seorang suspek bagaimanapun berjaya ditemui di sekitar Gombak.

Namun, pelaku yang melarikannya masih tidak ditemui.

Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram