[VIDEO] Lori rosak tak letak kon keselamatan ragut nyawa penunggang wanita di Pulau Pinang


  • Tular
  • Sabtu, 23 Dis 2023

Keadaan mangsa yang maut di lokasi kejadian selepas kemalangan di Lebuhraya PLUS Kepala Batas, Pulau Pinang pada Jumaat.

SEORANG penunggang motosikal wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) atas Terowong Paya Keladi, Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang menghala ke Sungai Petani, Kedah pada Jumaat.

Menerusi video yang dikongsikan di Facebook Yakuza RimauNaga, mangsa dipercayai merempuh belakang lori yang rosak di lorong kecemasan pada waktu malam.

Dalam pada itu, menerusi gambar kad pengenalan diri yang disertakan dalam hantaran pengguna tersebut, mangsa yang bernama Munirah Mohamad itu berasal dari Sik, Kedah.

Dakwanya dalam video sama, terdapat dua lagi mangsa yang tidak dapat dikenal pasti dalam keadaan kritikal di lokasi kejadian.

Selain itu, berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh orang awam, kelihatan tiada sebarang kon kecemasan yang diletakkan di sekitar kawasan lori berkenaan ketika kejadian.

Bukan itu sahaja, cahaya yang kurang baik juga dikatakan berkemungkinan menjadi punca kepada kemalangan.

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram