
POLIS tidak menafikan bahawa terdapat kemungkinan individu terlibat dalam perbuatan membakar sebuah masjid dan surau di Sri Medan, Batu Pahat, Johor baru-baru ini adalah suspek sama.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, siasatan masih dijalankan dan mengesyaki suspek yang sama dalam dua kejadian itu.
“Siasatan masih diteruskan, namun kami percaya orang sama terlibat dalam kedua-dua kes berdasarkan modus operandi yang dikenal pasti.
“Kedua-dua kes hampir serupa, dan kita juga mendapati, suspek masuk ke surau dan masjid dengan dengan cara sama,” katanya pada sidang media di Johor Bahru pada Rabu.
BACA LAGI : Lepas masjid, surau pula terbakar, polis siasat punca kebakaran 2 rumah ibadat di Batu Pahat
Kamarul Zaman berkata, pihaknya juga telah memanggil pihak kadi untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian dan disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
“Pejabat kadi Batu Pahat sedang membantu kami dalam mengenal pasti suspek dan Insya-ALLAH, suspek akan ditangkap tidak lama lagi,” katanya.
Pada Ahad lalu, berlakunya kebakaran di sebuah masjid di Kampung Parit Simid, Sri Medan manakala sehari selepas itu, sebuah surau di Parit Bangas pula dilaporkan terbakar.
Bagaimanapun, pada Selasa, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kebakaran di Surau Ar Nur, Parit Bangas memusnahkan 40 peratus struktur bangunan kira-kira 10 malam pada Isnin. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram