Pemakaian pelitup muka di masjid, surau tidak lagi wajib bermula Jumaat


  • Primer
  • Khamis, 29 Sep 2022

Biarpun pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan, namun ia masih digalakkan. — Gambar Hiasan

MASJID dan surau seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan itu berkuat kuasa mulai 30 September 2022 (Jumaat).

Menurutnya, ketetapan tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan selari dengan ketetapan terkini kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19.

"Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka di dalam masjid dan surau masih digalakkan.

"Individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema serta mereka yang berisiko tinggi seperti warga tua serta kanak-kanak amat digalakkan untuk memakai pelitup muka," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada 7 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa Kementerian Kesihatan (KKM). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram