[VIDEO] Sarjan tak mengaku salah tuduhan 'makan' rasuah RM20,000


S. Usha (baju biru) ketika tiba di Mahkamah Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Johor pada Isnin atas pertuduhan tersebut.

SEORANG anggota polis wanita berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Johor pada Isnin atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,000 berhubung kes pecah amanah pada 2022.

Tertuduh, S. Usha Nanthiny, 35, berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat dilaporkan didakwa memperoleh suapan itu daripada seorang lelaki di pejabatnya kira-kira 4.50 petang pada 28 Ogos 2022.

Ia didakwa sebagai ugutan untuk tidak menahan isteri lelaki tersebut kesalahan dilakukannya mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

BACA LAGI: Hanya mengangguk faham, pegawai polis didakwa terima rasuah RM12,000 di Tawau

Dalam pada itu, pertuduhan itu dilaporkan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama sekali gus memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Pada masa sama, hakim Siti Noraida Sulaiman dikatakan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 oleh seorang penjamin warganegara.

Namun, ia disertakan dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport tertuduh kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Segamat setiap sebulan sekali.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh yang juga ibu kepada dua anak itu diwakili peguam, S.Selvantheran.

Susulan itu, mahkamah dilaporkan menetapkan 24 Mac ini untuk sebutan semula kes. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram