PEMILIK kedai cuci kereta yang tular 'diserang' pelanggan akhirnya tampil menafikan dirinya sebagai punca kerosakan kunci kereta seorang wanita yang menggunakan perkhidmatannya di Taman Perling, Johor Bahru, Johor pada Isnin.
Dalam rakaman video tular yang menunjukkan kejadian itu, seorang wanita mendakwa pemilik berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Rashid menyebabkan kuncinya patah dan menuntut ganti rugi daripada pemilik kedai berkenaan.
Video berkenaan juga menunjukkan 'perang mulut' antara kedua-dua individu tanpa sebarang penyelesaian.
Menurut Abdul Rashid yang juga dikenali sebagai Asher, pada awal kejadian, dia mula meninggikan suara apabila dipaksa untuk membayar ganti rugi kunci kenderaan tersebut meskipun dia menafikan telah menyebabkan kerosakan pada kunci berkenaan.
"Pemilik yang datang kedai saya marah-marah, saya pun awalnya tak tahu apa yang jadi, bila saya dah hilang sabar pemilik ambil pula video saya," katanya kepada Majoriti.
Asher mengakui dia ada menggunakan kunci tersebut untuk cuba menghidupkan enjin kenderaan bagi menyalakan penghawa dingin sahaja.
"Kunci patah macam mana masih boleh ada di dalam tempat cucuk enjin itu, kalau patah mesti terjatuhkan, kakak itu datang-datang terus macam nak baling kerusi ke arah saya.
"Kakak itu beritahu kunci patah waktu dia matikan enjin di kedai kawannya, kalau kunci memang dah patah waktu di kedai saya, macam mana pula boleh pusing kunci itu untuk dimatikan ketika di kedai kawan dia," katanya.
Menurutnya, ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku terhadap perniagaannya.
"Cuba tanya pelanggan saya yang lain, saya sebelum ini banyak tolong orang sebab saya tak boleh tengok kereta orang (ada masalah) sikit saya jadi rasa simpati," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berharap isu ini dapat diselesaikan dengan cara sebaiknya dan reda dengan isu yang berkait perniagaannya yang baru dimulakan setahun yang lepas.
"Saya terima sahaja dan reda dengan ujian yang ALLAH nak bagi.
"Kalau tak ramai orang nak datang ke kedai selepas ini, kedai kena tutup ke, saya anggap itu dugaan," katanya.
Majoriti cuba menghubungi pemilik kenderaan tersebut tetapi tiada respons diterima setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram