Inisiatif Dasar Gaji Progresif


  • Primer
  • Khamis, 14 Dis 2023

Dasar Gaji Progresif diperkenalkan untuk mereformasi struktur gaji pekerja di negara ini. — Gambar Hiasan

KERTAS Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif dibentangkan di Dewan Rakyat dalam usaha memastikan golongan pekerja mendapat gaji lebih tinggi seiring peningkatan produktiviti.

Kertas Putih dibentangkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli itu mendukung aspirasi pihak kerajaan menstruktur ekonomi ke arah Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dengan memperkenalkan dasar gaji yang dijangka berupaya mengurangkan ketidaksamarataan pendapatan, meningkatkan produktiviti pekerja dan daya saing syarikat.

Rafizi berkata, Dasar Gaji Progresif yang dibangunkan meliputi tiga mekanisme utama iaitu syarat penyertaan, cadangan kenaikan gaji tahunan dan insentif mengikut kadar dan kumpulan pekerja.

“Dasar Gaji Progresif diperkenalkan untuk mereformasi struktur gaji pekerja Malaysia dan sebagai pelengkap kepada dasar sedia ada iaitu Dasar Gaji Minimum dan Sistem Upah Berdasarkan Prestasi (PLWS).

“Inisiatif yang disifatkan penting ini dilaksanakan demi menjaga kebajikan rakyat yang terpaksa mengharungi cabaran getir akibat peningkatan kos sara hidup, di samping menangani isu kelemahan struktur ekonomi yang dihadapi sejak sekian lama,” katanya di Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rafizi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

Model Dasar Gaji Progresif yang akan diperkenalkan melibatkan peningkatan gaji secara progresif seiring peningkatan produktiviti pekerja. Dasar tersebut bukan sahaja akan memberi manfaat menerusi peningkatan kemahiran pekerja, malah majikan juga bakal memperoleh faedah melalui peningkatan produktiviti, kesetiaan pekerja dan daya saing syarikat.

Hasrat utama kerajaan adalah untuk mewujudkan pasaran bakat lebih rancak dengan memastikan majikan menawarkan gaji berdasarkan penetapan gaji progresif mengikut sektor bagi menarik minat bakat yang diperlukan dalam perniagaan masing-masing.

Selain itu, majikan akan dinilai dan diberi penarafan untuk membolehkan syarikat bersaing antara satu sama lain bagi mewujudkan budaya penetapan gaji lebih baik dan menarik bakat berkualiti.

Tiga ciri asas

Dasar Gaji Progresif mempunyai tiga ciri asas terdiri daripada pelaksanaan secara sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.

“Pertama, pelaksanaan ini (Dasar Gaji Progresif) bersifat sukarela tanpa undang-undang baharu untuk memastikan ketersediaan dan kemampuan majikan menerima pakai model gaji progresif.

“Ini akan memberi ruang mencukupi kepada syarikat bersiap sedia dan melakukan penyesuaian tanpa tekanan kos terlalu besar terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang membentuk 97 peratus daripada majikan di negara ini,” jelasnya lanjut.

Dasar Gaji Progresif dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 1.05 juta pekerja. — Gambar hiasan

Dasar Gaji Progresif dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 1.05 juta pekerja. — Gambar hiasan

Tambah Ahli Parlimen Pandan itu ciri asas kedua pula penyertaan secara sukarela akan disokong oleh kerajaan melalui bantuan insentif tunai untuk membantu majikan membiayai sebahagian kos menyertai Dasar Gaji Progresif.

Insentif berkenaan diberikan kepada syarikat yang memenuhi syarat dan kriteria untuk tempoh satu tahun bagi menyesuaikan pelan perniagaan. Pemberian insentif tersebut akan dikaji setiap tahun berdasarkan kedudukan fiskal kerajaan.

Menjelaskan ciri asas ketiga, Rafizi memaklumkan bahawa, “Kenaikan gaji yang terkait dengan produktiviti menekankan kesaksamaan antara majikan dan pekerja melalui konsep timbal balik peningkatan produktiviti dan kenaikan gaji.

“Konsep ini bertujuan menangani kebimbangan utama pihak majikan iaitu kenaikan gaji perlu seiring dengan peningkatan tahap kemahiran dan produktiviti pekerja.”

KUALA LUMPUR, 30 Nov -- Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli ketika Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kertas Putih yang dibentangkan Rafizi mengandungi tiga mekanisme utama iaitu dilaksanakan secara sukarela, berteraskan insentif dan peruntukan yang disuntik kerajaan dan tanggungjawab pekerja dalam meningkatkan produktiviti.

Syarikat yang menyertai Dasar Gaji Progresif perlu menghantar pekerja menghadiri latihan dan peningkatan kemahiran diiktiraf kerajaan bertujuan meningkatkan produktiviti pekerja.

Pihak pekerja pula perlu mematuhi syarat-syarat latihan dan penambahbaikan kemahiran yang akan diterjemahkan kepada tenaga kerja bermutu dan produktiviti lebih tinggi setimpal dengan kenaikan gaji yang diterima.

Hasil sesi libat urus yang dilaksanakan mendapati, majoriti majikan terpilih bersedia menyertai Dasar Gaji Progresif sekiranya ia bersifat sukarela dan memberikan ruang untuk meneliti terlebih dahulu kemampuan dan prestasi kewangan syarikat. Majikan juga menyokong cadangan pemberian insentif tunai bagi mengimbangi kos buruh yang akan meningkat.

Tinjauan terhadap 2,038 pekerja mendapati, sebanyak 60 peratus menyokong pelaksanaan dasar itu dengan pandangan bahawa ia dijangka berupaya meningkatkan gaji pekerja secara sistematik. Golongan pekerja juga bersedia meningkatkan kemahiran dan produktiviti untuk menerima kenaikan gaji.

Impak pelaksanaan

Menurut Rafizi dengan andaian pemberian insentif daripada kerajaan sebanyak RM2 bilion, Dasar Gaji Progresif dijangka memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja dengan tambahan nilai keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak RM3.3 bilion.

Ia juga akan memberi tambahan kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM0.79 bilion, tambahan hasil cukai pendapatan sebanyak RM1.8 bilion dengan tambahan 37,529 orang pembayar cukai pendapatan baharu pada tahun pertama pelaksanaan.

“Kenaikan gaji dijangka meningkatkan kuasa beli pekerja yang akan memberikan kesan berganda kepada penggunaan dan pelaburan swasta. Kenaikan gaji pekerja juga akan memberi kesan positif dari segi peningkatan produktiviti dan pengurangan kadar pengangguran, di samping menambah baik bahagian pampasan pekerja kepada KDNK.

A moneychanger worker showing the ringgit and US dollar notes in Kuala Lumpur. -MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star.

Kenaikan gaji yang terkait dengan produktiviti menekankan kesaksamaan antara majikan dan pekerja melalui konsep timbal balik peningkatan produktiviti dan kenaikan gaji. — Gambar Hiasan

“Walaupun dasar ini akan meningkatkan kadar inflasi akibat peningkatan permintaan pengguna dan kuasa beli, kesan positif pertumbuhan ekonomi dilihat akan mengimbangi peningkatan kadar inflasi dalam jangka masa panjang,” terang beliau.

Dalam pada itu, Rafizi memberitahu, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan dimulakan dengan projek rintis pada bulan Jun 2024 melibatkan 1,000 syarikat. Pemilihan syarikat akan melalui proses menekankan sokongan dasar, tahap keperluan sektor dan kesaksamaan.

Penilaian impak akan dibuat terhadap keberkesanan projek rintis dan ketersediaan dasar sebelum Dasar Gaji Progresif dilaksanakan secara menyeluruh.

“Demi negara dan rakyat, reformasi ini perlu dilaksanakan pada kadar segera untuk mencapai sasaran meningkatkan gaji pekerja. Keputusan perlu diambil sekarang demi membina masa depan lebih baik dan saya yakin hasil usaha bersama akan membawa Malaysia ke tahap negara berpendapatan tinggi.

“Saya berharap agar semua pihak berkepentingan (stakeholders) termasuk pelbagai agensi kerajaan, majikan dan warga pekerja akan memberi sokongan padu terhadap inisiatif ini melalui pendekatan keseluruhan negara,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram