LBS jangka 2024 tahun positif raih sasaran jualan hartanah sebanyak RM1.8 bilion


  • Bizz
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Lim Hock (empat dari kiri) bersama barisan Pengarah LBS dan MGB, di Taklimat Media LBS 2024 yang berlangsung di Ibu Pejabat LBS, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis..

PEMAJU perumahan pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS atau Kumpulan) menjangkakan 2024 yang lebih positif dengan pengumuman pelancaran sasaran jualan hartanahnya sebanyak RM1.8 bilion.

Pada masa sama, LBS telah mengakhiri 2023 dengan RM1.701 bilion dalam jualan hartanah.

Pada sidang taklimat media LBS 2024 yang turut dihadiri oleh lebih 100 rakan media pada Khamis di Ibu Pejabat LBS, syarikat itu mengumumkan rancangan untuk melancarkan 10 buah projek baharu di seluruh Lembah Klang, Johor dan Pahang pada 2024 dengan sasaran pelancaran merangkumi 4,858 unit dan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2.33 bilion.

Bagi kawasan Lembah Klang, Selangor, LBS akan menumpukan kepada pelancaran 2,960 unit hartanah dengan GDV berjumlah RM1.14 bilion.

photo_6104670161970772796_y

Lim Hock (empat dari kanan) bersama barisan Pengarah LBS dan MGB ketika Taklimat Media LBS 2024.

Lembah Klang secara konsisten telah memberikan hasil jualan tertinggi kepada LBS sepanjang tahun dengan purata lebih daripada 80 peratus.

Daripada 2,960 unit ini, LBS turut merancang untuk melancarkan sejumlah 1,048 unit dengan GDV sebanyak RM303 juta di Idaman Perdana, yang terletak di perbandaran LBS Alam Perdana, Puncak Alam, Selangor.

Selain itu, LBS akan bekerjasama dengan syarikat pembinaannya, MGB Berhad bagi melancarkan blok pangsapuri Rumah Idaman MBI (Idaman Cahaya 3), (413 unit dengan jumlah GDV RM117 juta), rumah teres dua tingkat di Astella (79 unit dengan jumlah GDV RM75.6 juta), dan pangsapuri servis SkyRia di D’Island Residence (999 unit dengan jumlah GDV RM441 juta).

Seterusnya, LBS turut merancang untuk melancarkan sejumlah 421 unit, terdiri daripada pangsapuri dan rumah bandar di Bandar Saujana Putra, dengan GDV sebanyak RM 205 juta.

Pelancaran projek baharu di Pahang termasuk pangsapuri perkhidmatan Bayu Hills di Genting Highlands, (642 unit dengan GDV RM452 juta), diikuti 66 buah unit banglo di Rimbawan Acacia Garden, Genting Highland, dengan GDV sebanyak RM 103 juta.

LBS juga merancang untuk melancarkan pembangunan campuran terbesar di rantau ini, sekali gus bakal menampilkan unit-unit pangsapuri perkhidmatan dan penawaran unit komersial (kedai dan restoran) yang terbesar di Centrum Iris, Cameron Centrum, Cameron Highlands.

LBS turut mengumumkan pelancaran di Johor, yang bakal terdiri daripada 63 buah rumah berkembar dua tingkat di Imperial Garden, Bandar Putera Indah, Batu Pahat, Johor, dengan jumlah GDV sebanyak RM43 juta.

Pelancaran itu turut melibatkan projek Pangsapuri Saujana Indah di Taman Molek, yang terdiri daripada 393 unit dengan GDV RM 177 juta.

Sebagai perbandingan, LBS telah melancarkan 4,358 unit bernilai RM1.67 bilion pada 2023 manakala, pelancaran bagi 2023 meliputi pembangunan di seluruh KITA Bestari di perbandaran KITA @ Cybersouth, rumah teres Astella di D’Island Residence, Puchong dan Blok B LBS Prestige Residence di Seri Kembangan.

Selain itu, LBS juga telah berjaya melancarkan dan mengadakan majlis pecah tanah di Idaman Cahaya, Shah Alam dan Idaman Sari, Puchong pada 2023.

Kini, LBS mempunyai 19 projek pembangunan yang sedang berjalan, secara kolektif dengan anggaran GDV sebanyak RM 5 bilion.

Sehingga 31 Disember 2023, simpanan bank tanah LBS meliputi kawasan seluas 2,767 ekar, satu jumlah yang dijangka meletakkan LBS kekal bersaing dalam industir bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Di samping itu, LBS mempunyai jualan belum termasuk dalam bil adalah kira-kira RM1.99 bilion serta memastikan jumlah jangkaan pendapatan yang jelas dan kukuh untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Berucap pada Taklimat Media LBS 2024, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, pihaknya teruja untuk memulakan 2024 dengan optimis dan positif.

photo_6104670161970772795_y

Lim Hock ketika membentangkan tentang sasaran LBS pada 2024.

"Mengimbau kembali pencapaian 2023, LBS secara konsisten dan teliti dalam melancarkan projek-projek. Malah, LBS turut menangguhkan beberapa pelancaran pada tahun 2023 setelah mengambil kira sentimen pasaran dan keadaan ekonomi yang turut menyumbang kepada jualan hartanah.

"Namun, fokus utama Syarikat adalah untuk mencapai sasaran 2024. Paling penting, kami telah berjaya menyerahkan pemilikan kosong sebanyak 4,872 unit bernilai RM2.40 bilion.

"Kami menjangkakan landskap pasaran hartanah yang positif di 2024 dan akan terus mengutamakan 3 teras utama LBS iaitu Mampu Milik, Ketersambungan dan Komuniti," katanya.

Lim Hock berkata, sebagai pemaju yang mengutamakan rakyat, pihaknya turut mengintai beberapa peluang sekali gus berusaha untuk melancarkan hartanah dengan jumlah GDV bernilai RM2.33 bilion di beberapa buah negeri.

"Kami akan terus menilai dan melaksanakan strategi yang sesuai demi memastikan operasi berjalan lancar dan terus kekal optimistik terhadap prospek pertumbuhan Syarikat di tahun 2024.

“Inisiatif ESG (Pemuliharaan Alam Sekitar, Tanggungjawab Sosial, dan Amalan Tadbir Urus) kekal sebagai fokus dan keutamaan LBS dan kami akan terus mempertingkatkan profil ESG ini selaras dengan objektifnya demi mencapai matlamat Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

"Selain itu, kami berhasrat untuk memberi ganjaran berterusan kepada pemegang saham selaras dengan dasar dividen kami iaitu membayar 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram