[VIDEO] Staf stesen minyak selamba tolong wanita Thailand isi minyak RON95 di Rawang


  • Tular
  • Rabu, 03 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan seorang wanita dipercayai warga Thailand yang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Rawang baru-baru ini.

MASIH tidak berkesudahan, warga asing kini dilihat semakin bertindak berani melanggar peraturan yang sudah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Ia susulan tularnya sebuah video memaparkan seorang wanita dipercayai warga Thailand yang secara bersahaja mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Namun, apa yang membuatkan ia lebih menarik perhatian ramai adalah penggunaan minyak subsidi yang dibenarkan sendiri oleh pihak stesen minyak berkenaan.

BACA LAGI: Masih tak faham bahasa, lelaki jerkah warga Singapura isi minyak subsidi RON95

Bukan itu sahaja, turut dilihat beberapa orang kakitangan syarikat itu membantu wanita terbabit untuk mengisi minyak keretanya ketika itu.

"Dahlah curi minyak subsidi rakyat Malaysia, tapi yang tak faham kenapa pekerja siap datang tolong penuhkan minyak kereta itu lagi," dakwa pemilik video yang menggunakan akaun Twitter @MALAYSIAVIRALLL.

Pada masa sama, rata-rata warganet juga memberikan reaksi sama dan berang terhadap kelakuan wanita itu.

BACA LAGI: Bina sekali kios khas di stesen minyak tanpa subsidi elak RON95 'dirompak' kereta asing

"Harap pihak KPDN ambil tindakan. Kena tegas dalam pelaksanaan dan tindakan," tulis @BeingPozMe.

RON95 tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan dan hanya untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Belum ada kenyataan pengusaha stesen minyak mahupun syarikat petroleum berkenaan berhubung kejadian itu setakat berita ini ditulis.

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor ketika dihubungi Majoriti mengambil maklum isu terbabit.

"Pihak kami masih belum menerima informasi atau aduan berhubung perkara itu dan akan membuat siasatan lanjut," katanya ringkas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram