SEJAK sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dilancarkan pada Selasa, ia menerima kemasukan atau trafik luar jangka daripada orang ramai yang mahu mendaftar hingga timbul pelbagai rungutan dan masalah berbangkit.
Proses mengemas kini maklumat di PADU mula menerima kritikan serta kecaman pengguna susulan laman sesawang itu dikatakan tergendala sejam selepas ia dibuka.
Antara kecaman diberikan adalah melibatkan penghantaran kod kata kunci OTP serta gangguan akses disebabkan aliran trafik pengguna yang sesak.
Namun, di sebalik rungutan yang dilontarkan itu, terdapat juga segelintir pengguna mendakwa bahawa pengisian perlu dilakukan dengan menggunakan cara yang betul dan sabar.
Sistem PADU yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa. — Bernama
Tidak terkecuali mengulas isu tersebut, salah seorang pengguna media sosial menggunakan akaun Facebook Hyanwar Nice yang mendakwa bahawa perkara itu adalah sesuatu yang normal.
Menurutnya, orang ramai perlu bersabar dengan pelancaran sistem baharu yang kemudiannya akan diperbaiki dan ditambah baik.
"Benda baharu kan, semua isi normal lah tu. Nanti diperbaiki lagilah. Kecoh betul, beratur panjang-panjang berjam-jam nak beli makanan atau dapat benda percuma boleh.
"Suruh buat benda percuma secara dalam talian pun kecoh, kerajaan bagi masa juga bukan nak suruh buat benda nak sekarang juga," tulisnya.
Dalam pada itu, ada juga pengguna yang bernasib baik dapat mengakses sistem tersebut dengan lancar dan hanya mengambil masa yang singkat.
Tangkap layar skrin memaparkan laman sesawang dalam sistem PADU. — Facebook
"Aku buat tadi elok sahaja, tak sampai lima minit pun," komen Zulkifli Lot.
"Saya buat tadi lancar saja. Cuba patuh arahan dalam tu. Tak patuh memang la masalah. Suruh tambah password harus ada aksara, huruf besar, nombor. Tiada salah satu memang akan ditolak. Tangkap gambar kad pengenalan kabur pun akan ditolak," tulis Man Toba.
Sementara itu, pengguna lain yang berjaya menggunakan sistem PADU turut berkongsi bahawa ia sesuatu yang perlu dimanfaatkan oleh semua masyarakat kerana menggunakan perkhidmatan pakar tempatan.
"Katanya sistem ini penjawat awam yang buat. Maknanya, kerajaan guna bakat tempatan. Baguslah tu.
"Nak lagi wow boleh sambungkan dengan kad pengenalan. Cip kad pengenalan diri kita tu dah canggih, rugi tak manfaatkan," tulis Faridzul Asyraf Mat Arifin.
Baca Lagi: PM Anwar lancar PADU, semak semula data apa nak kena isi elak tercicir subsidi
Dalam perkembangan sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah berkaitan membabitkan pengguna telco Celcom.
“Masalah OTP (kata laluan enam digit) tidak diterima setakat ini didapati membabitkan pengguna Celcom. Pengguna khidmat telco lain tidak ada masalah.
“Perkara ini sedang dikendalikan pasukan PADU dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya di catatan di laman X.
Rafizi turut menasihati orang ramai supaya menggunakan alamat laman web dengan URL, http://padu.gov.my
Sistem PADU merupakan pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.
Ia dilaporkan sudah dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram