PENDUDUK Kampung Kelka dekat Simunjan, Sarawak dikejutkan dengan penemuan gas asli metana di kawasan sungai berhampiran pada Selasa.
Melalui satu hantaran video yang dikongsikan oleh Saiful Wahab mendakwa penemuan gas tersebut ditemui oleh orang awam yang secara kebetulan berada di tempat kejadian.
"Simunjan digemparkan dengan penemuan gas asli metana oleh orang awam di Sungai Kelka, Simunjan. Untuk makluman metana adalah gas sangat mudah terbakar dan bahaya.
"Selain itu gas metana ialah sebatian kimia dengan formula kimia CH₄. Ia sejenis alkana yang teringkas yang merupakan komponen utama gas asli," tulisnya dalam perkongsian di media sosial.
Video berdurasi 11 saat itu turut menjadi bualan warga maya. Hal ini kerana, ia merupakan kali pertama insiden itu berlaku di kawasan tersebut.
Dalam video itu, kelihatan api sedang menyala walaupun tanah di kawasan tersebut kelihatan lembap.
Malah ada juga yang meminta agak pihak berkuasa atau pakar yang arif mengenai bahan mudah terbakar tersebut agar segera mengambil tindakan segera untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak ataupun kerajaan negeri Sarawak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram