[VIDEO] Kedai telekomunikasi dirompak, pemilik rayu tahan suspek 'budak kening tebal'


  • 112
  • Selasa, 02 Jan 2024

Tangkap layar dua penyamun merompak sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Betik 1 di Taman Kota Masai, Johor pada Isnin.

SEORANG peniaga kedai telekomunikasi berputih mata kerugian dianggarkan puluhan ribu ringgit selepas premis perniagaannya di Jalan Betik 1 di Taman Kota Masai, Johor dirompak dua individu yang tidak dikenali pada Isnin.

Menerusi perkongsian pemilik premis berkenaan, Dewi Shari di laman Facebooknya pada Selasa, kejadian itu berlaku pada pukul 4.38 pagi Isnin.

"Ya ALLAH, ujian yang terlalu berat untuk tahun 2024, hari pertama tahun baharu.

"Tempat kami suami isteri cari makanan, cari rezeki Ya ALLAH. Kenapa manusia seperti iblis, habis semua dia curi.

"Minta tolong sahabat-sahabat semua, siapa yang kenal 'budak kening tebal' jual telefon banyak-banyak tolong tahan dia. Minta orang ramai tularkan video ini," tulisnya.

Mangsa turut berkongsi video kejadian yang memaparkan dua lelaki memecah masuk premis berkenaan.

Kedua-duanya juga licik memakai topi keledar penuh dan pelitup muka bagi mengelakkan muka mereka dikenali.

Difahamkan, kedua-dua suspek mengambil masa tidak lebih empat minit untuk merompak semua telefon bimbit dari kedai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan kejadian terbabit dan satu kertas siasatan telah pun dibuka.

“Kami telah menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 35 tahun.

“Kejadian berlaku pada 4.38 pagi dan suspek telah mencuri 16 telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM19,161,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu digalakkan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-386 4222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram