'Sewa cecah RM30,000, teknologi mundur', usahawan dakwa projek bantu bumiputera tidak buahkan hasil


  • Massa
  • Ahad, 31 Dis 2023

MENURUT hantaran tersebut, meskipun kerajaan dipercayai sudah mengeluarkan ratusan juta ringgit bagi membiayai projek tersebut, namun impaknya didakwa agak mengecewakan. — Facebook/AtikaMohdRamli

SEORANG usahawan makanan di dalam negara tampil meluahkan rasa kecewanya terhadap keadaan sebuah kemudahan infrastruktur perniagaan yang diwujudkan kerajaan bagi membantu peniaga bumiputera.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Atika Mohd Ramli berkata, meskipun kerajaan dipercayai sudah mengeluarkan ratusan juta ringgit bagi membiayai projek tersebut, namun impaknya didakwa agak mengecewakan.

Tempat yang dimaksudkannya adalah pusat latihan pengilangan industrial cluster atau lebih dikenali sebagai Inkubator Teknologi Makanan (INTEM) yang terletak di Kuala Lumpur.

INTEM yang merupakan projek di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) adalah sebuah pusat latihan pembuatan makanan yang mengambil berasaskan konsep pengajaran seperti di kilang.

Pusat ini turut menyediakan perkhidmatan sokongan seperti analisis makmal, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti pembuatan produk industri.

Menurut Atika Mohd Ramli, meskipun idea kepada penubuhan pusat tersebut dilihat baik, namun tahap pentadbirannya dilihat agak mengecewakan.

"Infrastruktur dan teknologinya sudah 20 tahun mundur ke belakang, tetapi sebabkan pihak pentadbir yang sombong bodoh, nak disewakan kepada para usahawan ala ala rate kilang 10 Bintang.

"Walhal set up kilang tak fit pun for real production untuk usahawan nak cover cost sewa yang mencedah lebih RM30,000 yang mereka setkan untuk usahawan nak sewa," katanya dalam satu hantaran pada Sabtu.

Dia turut mendakwa, meskipun dalam tempooh dua tahun lalu terdapat pelaksanaan pengubahsuaian beberapa unit kilang melibatkan kos jutaan ringgit, premis tersebut masih tidak menerima penyewa.

Malah ujarnya, pihak pentadbir projek tersebut juga dikatakan tidak menerima pandangan daripada kumpulan usahawan sepertinya yang terlibat secara langsung dalam perniagaan makanan.

"...Selama bertahun-tahun Kerajaan langsung tidak memperoleh dari tempat dari tempat ini, sebaliknya membelanjakan berjuta-juta untuk gaji dan perbelanjaan lain bagi mengekalkannya. Renungkan," tulisnya.

Pada masa sama, Atika Mohd Ramli berkata, walaupun terdapat beberapa pertukaran kepimpinan terhadap agensi yang bertanggungjawab terhadap pusat tersebut, tiada sebarang perubahan berlaku terhadap isu tersebut.

"Kononnya bila korporat mentadbir, dapat membawa perubahan kepada usahawan Melayu lain, tapi sama mentaliti dengan para cendekiawan dari bukan golongan usahawan," jelasnya.

Sehubungan itu, dia memaklumkan akan membawa perkara tersebut Kementerian Kewangan (MOF) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diambil perhatian.

"Saya akan ambil peranan untuk bawa kes INTEM kepada MOF dan PM. Agar tempat ini menjadi tempat usahawan melayu kecil kecil berjinak jinak dengan production kilang," ujarnya.

Difahamkan, Atika Mohd Ramli merupakan salah seorang usahawan makanan yang menyewa di pusat perniagaan tersebut.

Bagaimanapun, menerusi hantaran berasingan di Facebooknya pada Jumaat, dia dipercayai sudah tidak lagi beroperasi di tempat berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram