Lelaki warga Indonesia hanya mampu tunduk faham lepas didakwa bunuh kakak


Said Afendi (tengah) ketika tiba di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pada Ahad selepas didakwa telah membunuh kakaknya pada 24 Disember lalu. — Bernama

SEORANG lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di Johor Bahru pada Ahad atas pertuduhan membunuh kakaknya di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor minggu lalu.

Said Afendi, 24, didakwa membunuh Syarifah Ilawati, 42, kira-kira pukul 2 pagi pada 24 Disember lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

msg1050426791-21436

Syarifah Ilawati yang sebelum ini dilaporkan dibunuh adiknya di rumahnya di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor pada 24 Disember lepas.

Mahkamah menetapkan 18 Februari 2024 untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata, seorang wanita warga asing maut dipercayai ditikam dengan objek tajam pada awal pagi 24 Disember lalu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram