TRAGEDI kematian Zayn Rayyan seperti tidak dapat dirungkai dengan lebih mendalam mengenai suspek yang membunuh kanak-kanak autisme itu.
Pada awalnya, polis mendedahkan bahawa seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun bernama Zayn Rayyan Abdul Matin yang dilaporkan hilang telah dibunuh.
Malah, pihak berkuasa menyangka kematian kanak-kanak itu berlaku di luar jangkaan.
Tragedi yang menimpa keluarga mangsa turut mencipta luka yang mendalam dalam jiwa masyarakat di negara Malaysia.
Lebih menyayat hati, mayat adik Zayn Rayyan ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari tempat tinggal mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam, 6 Disember lalu.
Sebelum ini, seekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman dibawa ke lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan bagi membantu siasatan.
Sehingga sekarang masih belum ada petunjuk siapa yang bunuh adik Zayn Rayyan.
Kebiasaannya bukti fizikal yang boleh ditemui di tempat kejadian tidak mencukupi untuk membuktikan siapa pelaku sebenar.
Oleh itu, penyiasatan masih diteruskan untuk mencari pelakunya.
Seperti yang kita tahu, di Malaysia tertakluk kepada aspek perundangan dalam mencari keadilan untuk sesuatu.
Jenayah terhadap kanak- kanak mesti dipandang serius oleh sistem keadilan kita dan pelaku mesti dihukum dengan tegas.
Bagaimanapun, dalam praktiknya, mencari bukti yang mencukupi untuk menyabitkan pelaku bukanlah satu tugas yang mudah.
Penyiasatan terhadap kes pembunuhan Zayn Rayyan giat dijalankan.
Selalunya, kes ini menghadapi cabaran undang-undang yang kompleks, seperti kekurangan bukti yang meyakinkan atau keterangan yang boleh dipercayai.
Kanak-kanak, yang menjadi simbol kehidupan dan harapan untuk masa depan harus dilindungi dan dijaga dengan penuh kasih sayang.
Tetapi masih ada manusia yang bersikap kejam melalukan kekerasan terhadap kanak-kanak sehingga membunuh demi kepentingan diri sendiri.
Jenayah terhadap kanak-kanak bukan sahaja memberi kesan yang mendalam kepada keluarga mangsa, malah kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Jenayah jenis ini telah mewujudkan rasa takut, kebimbangan dan trauma dalam kehidupan masyarakat sekarang.
Orang ramai mula berasa tidak selamat dan tidak dapat mempercayai orang lain, terutamanya apabila mereka mempunyai anak kecil dan mula merasakan bahawa tiada lagi tempat yang selamat untuk anak-anak mereka.
Adakah kita benar-benar hidup dalam persekitaran yang selamat dan adil jika kita tidak dapat melindungi yang paling lemah dan paling tidak berdaya?
Oleh itu, jenayah terhadap kanak-kanak tidak boleh diabaikan atau dipandang remeh, kerana ia boleh mengganggu kestabilan sosial dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.
Dalam usaha mencari keadilan bagi arwah adik Zayn Rayyan, pelaku jenayah tersebut perlu dihukum sekeras-kerasnya atas perbuatan tidak berperikemanusiaan ini.
Terdapat jenis hukuman yang dikenakan mengikut kategori pelaku jenayah bunuh.
Sekiranya penjenayah tersebut merupakan seorang kanak-kanak bawah umur (bawah 18 tahun), kanak-kanak itu tidak boleh dikenakan hukuman mati sebaliknya dikenakan hukuman penjara berdasarkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sekiranya kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan. — Majoriti
Amiratul 'Ula Mohamad Asri, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram