POLIS tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes kematian melibatkan seorang pekerja lelaki yang terjatuh dari ketinggian tujuh meter di sebuah kilang dekat Bandar Mahkota Banting, Selangor, pada Rabu.
Menurut laporan sebuah media tempatan, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor memaklumkan, pihaknya meenerima laporan mengenai kes tersebut sekitar pukul 3.38 petang hari kejadian.
"Siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada jam 2.22 petang.
"Pengadu (Penolong Pengurus Kilang) diberitahu seorang pekerjanya yang juga lelaki tempatan telah terjatuh dari bahagian dalam 'converyor' bahan bakar pada ketinggian tujuh meter semasa melakukan kerja-kerja pembersihan," ujarnya dalam laporan tersebut.
Ahmad Ridhwan berkata, penolong pengurus kilang terbabit kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa tersangkut di kawasan pagar kilang tersebut.
Ujarnya, mangsa yang berusia 22 tahun diberikan bantuan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Banting untuk rawatan.
Bagaimanapun, kata beliau, pekerja lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Banting.
"Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut (SDR) iaitu kematian disebabkan kemalangan di tempat kerja," katanya dalam laporan sama.
Majoriti pada Khamis melaporkan mengenai satu kejadian kemalangan melibatkan seorang pekerja, dikenali dengan nama Ahmad Yuso yang maut selepas dipercayai terjatuh ketika sedang menjalankan kerja pembersihan di sebuah kilang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram