[VIDEO] Kurang seminggu dibuka, TRX Exchange sesak, budak sakan 'berpesta air' di kawasan larangan


  • Tular
  • Khamis, 07 Dis 2023

Tangkap layar pengunjung kanak-kanak sakan bermain air di kawasan taman permainan TRX Exchange, Kuala Lumpur.

KURANG seminggu dibuka, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur mula dipenuhi pengunjung yang teruja untuk melawat ke pusat tarikan terbaharu itu.

Namun, sikap segelintir ibu bapa yang membiarkan anak-anak bermain di taman tema permainan di situ mengundang kecaman masyarakat susulan fasiliti yang disediakan dipercayai telah disalah guna dan rosak akibat perbuatan kanak-kanak.

Meskipun ruang itu sememangnya disediakan untuk hiburan kanak-kanak, namun terdapat beberapa tempat larangan yang sepatutnya tidak diganggu seperti kawasan air pancut dan beberapa binaan hiasan yang kurang sesuai untuk disentuh.

Rakaman tular di media sosial memaparkan beberapa pengunjung terutamanya kanak-kanak, sedang sakan bermain air dan berlari di kawasan tersebut.

Ia sekali gus mencetuskan perbalahan warganet yang mendakwa ia merupakan kesalahan angkara kecuaian ibu bapa.

Dalam pada itu, menurut hantaran @sueannajoe_ di aplikasi X, kawasan permainan itu sememangnya direka sebagai tempat permainan air kanak-kanak.

Jelasnya, pihak TRX mengakui sedang berusaha meletakkan tanda amaran supaya penggunaan alatan di taman permainan itu lebih jelas.

Bagaimanapun, binaan berbentuk S yang ditutup di situ disahkan bukan tempat untuk kanak-kanak bermain, sebaliknya kawasan ‘waterplay’ yang dibina bersama beberapa aparatus interaktif di situ adalah khas untuk kanak-kanak.

Justeru, orang ramai khususnya ibu bapa dinasihati sentiasa memantau aktiviti anak masing-masing dan tidak membenarkan mereka mendekati kawasan larangan di taman tema permainan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram