Kertas Pandora: SPRM akan rakam keterangan Anwar Ibrahim


  • 112
  • Selasa, 19 Okt 2021

Datuk Seri Azam Baki telah mengarahkan pegawainya untuk bertemu dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merakam keterangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendedahannya mengenai Kertas Pandora yang turut menyenaraikan beberapa nama tokoh politik negara, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Menurutya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan pegawainya telah diarah untuk berjumpa Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Beliau berkata, sama ada kertas siasatan akan dibuka atau tidak bergantung kepada hasil perbincangan antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi-agensi terlibat.

"Sama ada kita buka atau tidak kertas siasatan, kita kena bincang dengan pihak BNM dan agensi-agensi berkaitan.

"Beri sedikit masa, kami akan buat janji temu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Anwar menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang bukan sahaja menolak usul membincangkan Pandora Papers, malah disifatkan ‘peguam bela’ kepada golongan yang menyimpan wang di luar negara.

Beliau mendesak agar usul tersebut dibentang dan dibahaskan, kerana terdapat dakwaan jumlah wang dari Malaysia yang disimpan di luar negara, sudah mencecah ratusan bilion.

Senarai individu yang disebut dalam Kertas Pandoran itu antaranya ialah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa dan keluarga ahli perniagaan, Low Taek Jho. — Majoriti