Lelaki 42 tahun maut disengat tebuan tanah ketika main motor lasak di Segamat


  • 112
  • Isnin, 25 Dis 2023

Mangsa disahkan maut di tempat kejadian dalam insiden di Hutan Simpan Jalan Temayong, berhampiran Felda Tenang, Segamat, Johor pada Ahad. — Bomba

SEORANG lelaki berusia 42 tahun maut disengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti sukan permotoran di Hutan Simpan Jalan Temayong, berhampiran Felda Tenang, Segamat, Johor pada Ahad.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Hairisyah Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 2.24 petang.

Beliau berkata, setibanya di lokasi, terdapat seorang lelaki yang dikenali sebagai Halmi Tahrin, 42, telah disengat tebuan tanah.

"Susulan daripada itu, sepasukan tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan klinik kesihatan Labis di tempat kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi menyelamat tamat pukul 6.30 petang selepas pihak bomba berjaya memastikan kawasan itu selamat daripada gangguan tebuan tanah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram