
SERAMAI 21 pelajar sebuah sekolah menengah dan 10 guru pengiring cedera akibat disengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti mendaki di sebuah pusat peranginan di Sungai Lepoh, Hulu Langat, Selangor pada Sabtu.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, dalam kejadian pada 1.50 tengah hari itu, enam pelajar dikejarkan ke Hospital Ampang sementara 25 lagi termasuk 10 guru pengiring dihantar ke Klinik Kesihatan Batu 14 Hulu Langat bagi mendapat rawatan susulan.
"Enam pelajar yang dikejarkan ke Hospital Ampang ditempatkan di zon merah dan zon kuning. Keadaan mereka dilaporkan stabil, semua yang terlibat terlebih dahulu menerima rawatan awal di lokasi kejadian daripada anggota paramedik APM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Seramai 21 pelajar sekolah menengah dan 10 guru pengiring cedera akibat disengat tebuan tanah ketika melakukan aktiviti mendaki. — Facebook/APM
Menurut jurucakap berkenaan, sebanyak 133 pelajar dan 10 guru pengiring daripada sebuah sekolah menengah di Shah Alam berada di rumah peranginan berkenaan bagi program kem kepimpinan sejak Jumaat dan dijadualkan tamat pada Ahad. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram