MALANG nasib menimpa seorang juruteknik yang sedang bertugas di sebuah pencawang telekomunikasi setinggi 30 meter di Felda Gunung Bongsu, Karangan, Kedah pada Khamis apabila dia maut selepas disengat tebuan.
Difahamkan, mangsa yang berusia 30 tahun meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Kulim kira-kira pukul 12.10 tengah malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, kira-kira pukul 1.30 petang Khamis, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan rakan setugasnya disengat tebuan.
Katanya, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik di sengat tebuan semasa membuat kerja baik pulih kerosakan pencawang komunikasi di Felda Gunung Bongsu.
“Pada awalnya mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Karangan untuk rawatan awal. Bagaimanapun mangsa didapati mengalami keadaan kesihatan yang lemah sebelum dibawa ke Hospital Kulim menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Mohd. Redzuan, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.10 tengah malam dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan sengatan lebah.
“Tiada unsur jenayah dan kes disiasat sebagai kematian mengejut, jenazah mangsa telah diserahkan kepada waris dan akan dikebumikan di Alor Setar,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram