TULAR satu kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbabas dalam kejadian di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) menghala ke Kuala Terengganu, Terengganu.
Insiden tersebut dirakam menerusi satu kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang berada di lokasi dengan tarikh dan waktu pada klip tersebut memaparkan ia dipercayai berlaku pada Sabtu sekitar pukul 12.28 tengah hari.
Menerusi video tersebut, kenderaan pacuan empat roda berkenaan pada awalnya dilihat sedang memotong di lorong kanan lebuh raya terbabit ketika waktu hujan.
Kereta terbabit pada masa sama juga didapati menyalakan lampu kecemasan dipercayai untuk meningkatkan penglihatan kenderaan lain ketika cuaca buruk.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, kenderaan pacuan empat yang dipandu dengan agak laju itu kemudianya dilihat terbabas ke kiri jalan dipercayai kerana melanggar lopak air di laluan tersebut.
Kereta itu seterusnya dilihat menghentam benteng di tepi lebuh raya terbabit sebelum berpusing dan terbalik.
Status kecederaan mangsa yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut.
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun pada Sabtu turut melaporkan mengenai satu kejadian trak pikap terbalik yang berlaku di Kilometer (KM) 335 LPT 2 menghala ke Paka, Dungun, Terengganu.
Dalam kejadian tersebut, dua mangsa terlibat masing-masing terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa hanya mengalami cedera ringan dan selamat dikeluarkan oleh orang awam.
Kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dilaporkan terbalik dalam kejadian kemalangan di Kilometer (KM) 335 LPT 2 menghala ke Paka, Dungun, Terengganu, pada Sabtu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kemalangan tersebut adalah melibatkan kenderaan sama seperti dalam video yang tular terbabit.
Namun, berdasarkan pemerhatian awal daripada gambar dan video dikongsikan mendapati kedua-dua kejadian itu dipercayai merupakan insiden berasingan kerana ia melibatkan dua kereta pacuan empat roda berlainan jenis dan warna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram