Kecoh bincang nak sembunyi mayat sampai jiran dengar, 3 suspek ditahan lepas jasad ditemui belakang rumah di Sungai Choh


  • 112
  • Ahad, 24 Dis 2023

Motif kejadian dipercayai kerana perselisihan faham antara mangsa dan salah seorang suspek. — Bernama

POLIS menahan tiga suspek dipercayai terlibat dalam kes penemuan mayat seorang lelaki yang ditanam di belakang sebuah rumah dekat Sungai Choh, Rawang, Selangor pada awal pagi Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, penemuan jasad tersebut terbongkar selepas jiran terdengar kekecohan yang berlaku antara dua individu berkaitan usaha menyembunyikan mayat.

Beliau berkata, pengadu yang berusia 27 tahun itu memberitahu polis mengenai perkara tersebut selepas mendengar mengenai perbualan meragukan dari rumah jirannya pada Sabtu.

Kemudiannya, pada hari sama, pengadu turut terdengar perbincangan antara suami dan abang ipar jiran yang menyentuh mengenai cara menanam mayat.

"Polis kemudian menahan dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun serta seorang wanita berusia 32 tahun yang kami percaya terlibat dalam kejadian ini.

"Siasatan awal membawa kepada penemuan mayat lelaki yang tertimbus berhampiran beberapa pokok renek (berdekatan kawasan rumah tersebut), " katanya dalam satu kenyataan.

Suspek yang ditahan semuanya mempunyai hubungan antara satu sama lain.

Difahamkan, empat lagi suspek masih sedang dalam buruan termasuk teman wanita mangsa dan abangnya.

Mangsa sebelum itu dipercayai dipukul hingga mati menggunakan senjata termasuk botol kaca dan tong besi.

Motif kejadian dipercayai kerana perselisihan faham antara mangsa dan salah seorang suspek.

Noor Ariffin memaklumkan kesemua suspek direman selama tujuh hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram