Kartel perbuatan sabotaj usaha kerajaan ringan kos sara hidup rakyat — Armizan


  • Primer
  • Sabtu, 23 Dis 2023

Syarikat pengeluar ayam yang didenda pada Jumaat kerana terlibat dalam isu kartel. — Gambar hiasan/Bernama

KEGIATAN mengadakan kartel antara syarikat perniagaan bagi meraih keuntungan tanpa ada persaingan sihat merupakan perbuatan mensabotaj usaha kerajaan yang kini berusaha sedaya upaya meringankan kos sara hidup rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu kartel seperti lima syarikat didenda RM415.5 juta oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada Jumaat, bukan sekadar isu antipersaingan dan manipulasi pasaran, sebaliknya berkait kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, kartel yang juga menjejaskan ekonomi negara itu melibatkan unsur pakatan harga untuk menaikkan harga makanan ayam sekali gus menaikkan harga bekalan ayam di pasaran kerana 72 peratus kos pengeluaran ayam adalah melibatkan kos makanan.

"Kartel ini adalah terbesar dikesan sejak MyCC ditubuhkan 2011. Demi kepentingan rakyat, kerajaan melalui KPDN dan MyCC bergerak lebih agresif. Ia kerana, cabaran akan lebih besar tahun hadapan apabila dilaksanakan penyasaran semula subsidi.

msg1050426791-21096

Armizan (kiri) ketika merasmikan Trek Larian Getah Sintetik Padang Pekan Papar dan Program Jualan Rahmah di Padang Pekan Papar, Sabah pada Sabtu. — Bernama

"Harga barang akan diapungkan dan akan dipengaruhi faktor penawaran dan permintaan. Kewujudan kartel dalam bentuk manipulasi dalam pasaran demi memaksimakan keuntungan industri adalah amat tidak wajar dan merugikan rakyat,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar merasmikan Trek Larian Getah Sintetik Padang Pekan Papar dan Program Jualan Rahmah di Padang Pekan Papar, Sabah pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan MyCC mengenakan penalti berjumlah sekitar RM415.5 juta kepada lima syarikat pengisar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.

Armizan berkata, KPDN khususnya MyCC akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan sebagai usaha mengekang kartel khususnya dalam tiga sektor utama iaitu makanan, pertanian dan tipuan bidaan.

Ditanya tentang kemungkinan tindakan terhadap kartel besar lain selepas ini, beliau berkata, sememangnya siasatan sedang dijalankan terhadap kartel-kartel tertentu pada masa ini dan tidak menolak kemungkinan tindakan akan dilakukan pihaknya terhadap kartel besar lain selepas ini.

"Saya tidak dapat dedahkan perinciannya (kartel) kerana masih dalam siasatan tetapi boleh saya katakan ia melibatkan usaha kita mengekang kartel di tiga sektor utama itu. Jadi syarikat dan peniaga di luar sana kita nasihatkan berniaga betul-betul, jangan susahkan rakyat dan negara,” katanya.

Mengenai trek larian getah sintetik itu Armizan berkata, projek pembinaannya melibatkan kos RM1.2 juta dan mengambil masa dua bulan untuk disiapkan sebelum dirasmikan untuk kegunaan awam pada Sabtu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram