Hari ke-14 kes Zayn Rayyan: Pengarah JSJ Bukit Aman turun padang


  • 112
  • Rabu, 20 Dis 2023

Mohd Shuhaily (depan, dua dari kiri) dilihat tiba di perkarangan Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu. — Bernama

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain turun padang meninjau perkembangan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman Damansara Damai di Petaling Jaya, Selangor, pada Rabu.

Mohd Shuhaily dilihat tiba di apartmen berkenaan kira-kira pukul 1.10 tengah hari menaiki motosikal berkuasa tinggi diiringi dua kereta peronda sebelum diberikan penerangan mengenai kes berkenaan oleh beberapa anggota dipercayai pegawai penyiasat kes.

Beliau kemudian dilihat memasuki Blok R apartmen berkenaan, dipercayai untuk meninjau lokasi kejadian termasuk aliran anak sungai tempat mayat kanak-kanak malang itu ditemukan.

411397867_788853076607441_797319352887859701_n

Mohd Shuhaily (kiri) ketika membuat tinjauan di perkarangan Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu. — Bernama

Mohd Shuhaily bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkembangan kes berkenaan yang masuk hari ke-14, hari ini.

"Tiada apa-apa kenyataan daripada saya, semua maklumat oleh KP (Ketua Polis) Selangor,” katanya sebelum beredar dari apartmen itu pukul 2.30 petang.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Dis lepas di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram