[VIDEO] Polis buru individu khianat, bakar kedai vape di Port Dickson


  • 112
  • Rabu, 20 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan individu terbabit membakar sebuah kedai vape dipercayai angkara khianat.

POLIS sedang mengesan sekumpulan individu yang membakar sebuah kedai menjual rokok elektronik (vape) di Taman Ria Port Dickson, Negeri Sembilan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya mengesan dua rakaman video berdurasi 1 minit 18 saat dan 15 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @anthraxxx781 menunjukkan sekumpulan individu membakar sebuah kedai vape.

Dalam video tular tersebut, kejadian melibatkan empat individu bertopi keledar yang menyerbu masuk sebelum membakar premis itu.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada Isnin kira-kira 9.50 malam di sebuah lot kedai di Taman Ria.

“Ekoran kejadian tersebut kedai vape telah terbakar di bahagian dalam dan api telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Aidi Sham berkata, polis sedang giat menjalankan risikan dalam usaha mengesan suspek terlibat.

Beliau berkata, jumlah kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan kira-kira RM50,000.

Sementara itu, beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

BACA LAGI: Didakwa angkara khianat, 4 'mat moto' bakar kedai rokok elektronik di Port Dickson

Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Mohamad Danial Abd Rohim di talian (013-2226085).

"Orang awam juga boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Port Dickson (06-6462999) atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram