Hukuman mati ‘Babun’ bunuh kekasih diganti jel 33 tahun, 12 sebatan


Tarmizi Yaakob (kanan) ketika dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang pada 2019. — The Star

SEORANG bekas pengawal keselamatan terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Khamis menggantikan hukuman itu dengan penjara 33 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh pelajar tingkatan lima yang juga kekasihnya, lapan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan sebulat suara itu selepas membenarkan rayuan akhir Tarmizi Yaakob, 28, supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

"Hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 25 Oktober 2015,” katanya yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abu Bakar Jais.

Hakim Mohamad Zabidin turut membatalkan rayuan perayu terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan merogol selepas peguam Azizul Shariman Mat Yusoff mewakili Tarmizi memaklumkan pihaknya tidak meneruskan rayuan. Oleh itu, hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan terhadap Tarmizi, kekal.

photo_6330108180679473406_x

Tarmizi Yaakob (tengah) ketika perbicaraan kesnya pada 2017. — mStar

Pada 26 Mac 2019, Mahkamah Tinggi George Town, Pulau Pinang menjatuhkan hukuman mati terhadap Tarmizi yang dikenali sebagai "Babun" selepas didapati bersalah membunuh pelajar berusia 17 tahun di sebuah pangsapuri di Teluk Kumbar, George Town antara 7.30 pagi hingga 7.30 malam, 25 Oktober 2015.

Mahkamah itu juga menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan terhadap Tarmizi kerana merogol kekasihnya di tempat dan tarikh sama pada 7.30 pagi. Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu bagi kesalahan membunuh dan merogol.

Terdahulu, Azizul Shariman berkata, pihaknya telah menyerahkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara pada 15 Ogos lalu supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

"Kami mendapat jawapan daripada pihak responden (pendakwa raya) bahawa tiada halangan untuk kami memohon hukuman di bawah akta terbabit,” katanya sambil menambah rayuan hanya membabitkan hukuman dan bukan sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorhisham Mohd Jaafar mengesahkan perkara itu.

Semasa rayuan meringankan hukuman, Azizul Shariman memohon penjara minimum dengan mengambil kira semasa kejadian, perayu ialah pesalah muda yang ketika itu berumur 20 tahun serta mengalami terencat akal minimum akibat pengambilan dadah, selain kurang kasih sayang memandangkan ibunya meninggal dunia semasa usianya 15 tahun.

Noorhisham pula berkata, semasa kejadian, perayu telah menggunakan senjata pisau dan hasil laporan perubatan mendapati terdapat 18 kesan campuran pendarahan, lebam, luka dan melecet pada badan si mati.

Justeru, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara tidak kurang 35 tahun. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram